Rawatan ubat untuk penyakit menarik rambut kronik (trichotillomania)

Trichotillomania (TTM) adalah suatu keadaan yang biasa tetapi melumpuhkan yang dicirikan oleh penarikan rambut secara berulang sehingga menyebabkan keguguran rambut. TTM boleh dikaitkan dengan banyak distress dan kecacatan. Ia juga boleh dikaitkan dengan keadaan psikiatri lain (dikenali sebagai komorbiditi) seperti kemurungan dan gangguan kegelisahan. Para penyelidik telah mencadangkan bahawa ubat mungkin berguna untuk merawat keadaan ini.

Siapakah yang akan berminat dalam ulasan ini?

- Orang yang mempunyai TTM atau komorbiditi biasa yang lain.

- Keluarga dan rakan kepada orang yang mempunyai TTM atau komorbiditi biasa yang lain.

- Pengamal klinikal kesihatan mental, pengamal perubatan umum, pakar psikiatri, ahli psikologi, dan ahli farmasi.

Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?

- Adakah ubat merupakan rawatan yang berkesan untuk TTM pada orang dewasa atau kanak-kanak dan remaja? Maksudnya, adakah ubat memberikan hasil yang diharapkan?

- Adakah ubat mengurangkan keterukan gejala untuk orang dewasa atau kanak-kanak dan remaja dengan TTM?

- Adakah ubat dapat membantu merawat gejala kemurungan pada orang dewasa atau kanak-kanak dan remaja dengan TTM?

- Adakah ubat berkesan dan boleh diterima oleh orang dengan TTM dari segi kesan sampingan?

- Adakah ubat meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan ketidakupayaan?

Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?

- Kami membandingkan sembilan kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo (bahan kawalan/bukan ubat aktif) untuk rawatan TTM pada orang dewasa.

- Kami menyertakan satu kajian yang membandingkan dua ubat antidepresan yang berbeza dengan satu sama lain untuk rawatan TTM pada orang dewasa.

- Kami menyertakan satu kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo untuk rawatan TTM pada kanak-kanak dan remaja berusia 8 hingga 17 tahun.

- Kami menyertakan satu kajian yang membandingkan ubat dengan plasebo untuk rawatan TTM pada remaja dan orang dewasa berusia 12 hingga 65 tahun.

- Seramai 298 orang dewasa disertakan dari 11 kajian yang dijalankan pada orang dewasa, dan seramai 43 kanak-kanak dan remaja disertakan dari dua kajian yang dijalankan dengan peserta dalam kumpulan usia ini.

Apa yang diberitahu oleh bukti dari ulasan ini?

Tidak ada bukti yang mencukupi daripada analisis kajian individu atau dari pelbagai kajian saintifik (dikenali sebagai meta-analisis) untuk mengesahkan atau menentang keberkesanan mana-mana agen atau kelas ubat tertentu untuk rawatan TTM pada orang dewasa, kanak-kanak atau remaja. Pada orang dewasa, bukti menunjukkan bahawa tindakan antidepresan trisiklik (TCA; sejenis antidepresan) dengan perencat pengambilan serotonin yang dominan (SRI; peningkatan tahap serotonin di otak) mungkin menunjukkan kesan rawatan yang bermanfaat berbanding dengan TCA lain, dengan pengurangan keterukan gejala TTM. Walau bagaimanapun, kepastian bagi anggaran kesan adalah rendah dan berdasarkan satu kajian yang membandingkan clomipramine dengan desipramine. Antipsikotik pada orang dewasa mungkin menunjukkan kesan rawatan yang bermanfaat dan kemungkinan pengurangan keterukan gejala TTM, dengan kepastian yang rendah bagi anggaran kesan, berdasarkan satu kajian olanzapine. Modulator glutamat (sejenis modulator asid amino) pada orang dewasa menunjukkan kemungkinan kesan rawatan adalah bermanfaat dan kemungkinan penurunan keterukan gejala TTM, dengan kepastian yang sederhana bagi anggaran kesan, walaupun berdasarkan satu kajian N-asetilcysteine (NAC; modulator glutamat). Modulator glutamat pada kanak-kanak dan remaja (8 hingga 17 tahun) tidak menunjukkan bukti kesan yang bermanfaat dari segi peratusan peserta yang bertindakbalas terhadap rawatan dalam satu kajian NAC. Walau bagaimanapun, bukti menunjukkan kemungkinan besar penurunan keterukan gejala TTM; namun, dengan kepastian yang rendah dalam anggaran. Sedikit atau tiada bukti untuk kesan rawatan yang bermanfaat dari segi peratusan peserta yang bertindakbalas terhadap rawatan atau pengurangan keterukan gejala TTM yang dilaporkan untuk antioksidan, transduser isyarat sel, antagonis opioid atau perencat pengambilan serotonin terpilih (SSRIs; sejenis antidepresan) dalam orang dewasa, kanak-kanak atau remaja.

Penarikan diri kerana kejadian buruk hanya dilaporkan untuk SSRI dan TCA dengan tindakan SRI yang dominan pada orang dewasa dan untuk modulator glutamat pada kanak-kanak dan remaja. Modulator glutamat mempunyai profil kesan sampingan yang kurang teruk pada orang dewasa, sementara antipsikotik dikaitkan dengan beberapa kesan sampingan yang buruk, walaupun dengan kepastian yang rendah bagi anggaran kesan, dan berdasarkan ujian individu untuk setiap kelas ubat. Terdapat bukti kepastian rendah yang menunjukkan tiada perbezaan penarikan diri disebabkan oleh kejadian buruk antara kumpulan modulator glutamat dan kumpulan plasebo dalam satu kajian secara eksklusif pada kanak-kanak dan remaja.

Apakah yang patut berlaku seterusnya?

Terdapat sedikit bukti bahawa NAC (modulator glutamat) mungkin menunjukkan keberkesanan dalam TTM pada orang dewasa dan kemungkinan penurunan keterukan gejala pada kanak-kanak dan remaja. Terdapat sedikit bukti bahawa olanzapine (antipsikotik) dan clomipramine (TCA dengan tindakan SRI yang dominan) mungkin menunjukkan keberkesanan TTM pada orang dewasa, walaupun berdasarkan kajian individu dan oleh itu, tidak dapat digeneralisasikan kepada agen lain dalam kelas ubat yang sama. Sedikit kajian sahaja dan saiz sampel adalah kecil, dan hasil daripada itu, adalah tidak mungkin untuk membuat kesimpulan berkualiti tinggi daripada meta-analisis. Kajian tambahan, dengan reka bentuk yang teliti dan jumlah sampel yang tepat diperlukan, terutamanya pada kanak-kanak dan remaja. Kajian pada masa depan juga boleh menyertakan orang yang mempunyai komorbiditi biasa, kerana asas bukti semasa mungkin tidak mewakili populasi klinikal, yang mungkin mempunyai banyak masalah perubatan dan keadaan psikiatri.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information