Intervensi telefon untuk mengurus gejala dalam kalangan dewasa dengan kanser

Latar belakang
Orang dengan kanser mengalami pelbagai gejala yang disebabkan oleh penyakit dan rawatannya. Gejala termsuk kemurungan, kegelisahan, keletihan dan sakit. Ia sering diurus, dari hari ke hari, oleh pesakit atau ahli keluarga mereka. Sekiranya gejala tidak diurus dengan baik, ia boleh menyebabkan masalah lain, seperti kesukaran menjalankan tugas-tugas harian, tidur yang tidak bagus dan kualiti hidup yang kurang baik.

Pakar-pakar kanser telah mengembangkan rawatan psikologi dan pendidikan untuk membantu orang menguruskan gejala kanser. Rawatan-rawatan (atau intervensi) boleh disampaikan melalui telefon (intervensi telefon) di rumah pesakit berbanding bersemuka di hospital.

Apakah soalan-soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan menjawab soalan-soalan berikut.

1. Adakah intervensi telefon untuk orang dewasa dengan kanser berkesan dalam melegakan gejala kanser dan rawatan kanser?

2. Apakah gejala-gejala yang paling berkurangan apabila intervensi telefon digunakan?

3. Bahagian intervensi telefon manakah yang paling memberi impak mengurangkan simptom kanser?

Di dalam ulasan ini, intervensi telefon adalah intervensi yang diberi hanya, atau terutamanya, melalui telefon. Intervensi diberi oleh profesional kesihatan. Selain kontak melalui telefon, ia termasuk kontak bersemuka, atau informasi bercetak, digital atau dalam talian, seperti risalah, program komputer dan laman web.

Bagaimana kami menjawab soalan-soalan ini?
Kami mencari pangkalan-pangkalan data perubatan dan jurnal-jurnal untuk mencari semua kajian rawak terkawal yang menggunakan intervensi telefon untuk mengurangkan sebarang gejala kanser. Kajian rawak terkawal memperuntukkan orang secara rawak kepada suatu rawatan, atau rawatan lain; ia menyediakan bukti yang paling boleh percaya. Kajian-kajian membandingkan intervensi telefon dengan intervensi telefon lain, dengan jenis intervensi lain (misalnya bersemuka), atau dengan penjagaan biasa. Peserta-peserta dalam kajian ini adalah orang dewasa dengan sebarang jenis atau tahap kanser.

Keputusan
Kami sertakan 32 kajian dengan sejumlah 6250 peserta. Kebanyakan kajian (21) adalah dari Amerika Syarikat. Sembilan kajian merekrut wanita dengan kanser payudara, 11 melibatkan orang dengan kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, atau kanser prostat. Empat belas kajian melibatkan orang dengan kanser peringkat awal. Para jururawat menyediakan intervensi di dalam 24 kajian. Hanya 10 kajian menyampaikan intervensi melalui telefon sepenuhnya, dan 16 kajian menggabungkan panggilan telefon dengan bahan lain (bercetak atau digital). Kajian-kajian mengukur gejala kemurungan, kegelisahan, distres emosi, ketidakpastian, keletihan, sakit, gejala seksual, dan sesak nafas. Kajian-kajian juga mengukur kesan semua gejala (pengalaman gejala umum).

Kebanyakan kajian membandingkan intervensi telefon dengan penjagaan biasa sahaja atau penjagaan biasa dengan sokongan tambahan. Lapan kajian membandingkan dua intervensi telefon di antara satu sama lain; ada juga yang membandingkan dengan penjagaan biasa.

Oleh kerana kajian-kajian sangat berbeza antara satu sama lain, kami tidak dapat menggabungkan keputusan menjadi satu analisis untuk setiap gejala. Walau bagaimanapun, sesetengah kajian mengukur perubahan gejala-gejala menggunakan skala standard atau serupa. Ia merekodkan skor skala peserta pada awal intervensi, semasa intervensi, dan pada akhir intervensi, menghasilkan 'skor perubahan'. Kami telah menganalisis hasil kajian-kajian yang merekod skor perubahan.

Apakah yang diberitahu oleh bukti-bukti daripada ulasan ini?
Dua puluh satu kajian menyediakan bukti tentang kemurungan berbanding penjagaan biasa atau intervensi lain, tetapi hanya sembilan kajian menyediakan skor perubahan. Kajian-kajian mendapati intervensi telefon dapat mengurangkan gejala kemurungan. Begitu juga, intervensi telefon dilihat berkesan berbanding penjagaan biasa atau intervensi lain dalam mengurangkan kegelisahan (16 kajian; 5 kajian menyumbang skor perubahan); keletihan (9 kajian; 6 kajian menyumbang skor perubahan); dan distres emosi (7 kajian; 5 kajian menyumbang skor perubahan).

Bukti untuk gejala-gejala lain adalah terhad, membuatnya sukar untuk mencapai kesimpulan.

Kepastian bukti
Intervensi telefon dilihat dapat melegakan beberapa gejala kanser dan rawatan kanser, walau bagaimanapun, kajian-kajian adalah kecil dan sangat berbeza antara satu sama lain, oleh itu keyakinan (kepastian) kami terhadap bukti sangat rendah. Adalah tidak jelas sama ada intervensi telefon sahaja, atau gabungan dengan pertemuan bersemuka, atau bahan cetak atau audio, paling berkesan dalam mengurangkan banyak gejala yang dialami oleh orang dengan kanser.

Kesimpulan
Intervensi telefon mudah untuk pesakit, keluarga mereka dan pekerja penjagaan kesihatan tetapi keputusan ulasan kami tidak muktamad. Penyelidikan lanjut yang lebih teliti tentang topik ini akan membantu menjawab soalan ulasan kami.

Tarikh carian
Ulasan ini menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga Januari 2019.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Ammar Al Hakim bin Mohd Kamil (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save