Brakiterapi intracaviti pada kadar dos tinggi berbanding kadar dos rendah untuk kanser serviks setempat peringkat parah

Latar belakang

Radioterapi telah berjaya digunakan untuk merawat kanser serviks selama hampir satu abad kerana tisu serviks sangat sensitif terhadap radiasi. Kemandirian yang lebih baik dan kadar kawalan penyakit ini telah menjadikan gabungan radioterapi pancaran luaran (ERBRT) dan brakiterapi intracaviti (ICBT) rawatan standard untuk kanser serviks setempat peringkat parah. ICBT dibahagikan kepada tiga modaliti, kadar dos rendah (LDR), kadar dos tinggi (HDR), dan kadar dos sederhana (MDR). Banyak kajian telah menyimpulkan bahawa LDR lebih baik daripada HDR kerana pembaikan selepas rawatan tisu normal adalah lebih baik. Namum begitu, disebabkan beberapa potensi kelebihan HDR dalam ICBT pemuatan selepas moden, HDR ICBT semakin banyak digunakan, bukannya LDR ICBT, sejak 20 tahun yang lalu.

Persoalan Ulasan

Meskipun terdapat kelebihan praktikal pada HDR, kontroversi masih berterusan mengenai keberkesanan dan keselamatan HDR berbanding brakiterapi LDR. Kami menjalani ulasan ini untuk menilai keberkesanan dan keselamatan HDR berbanding LDR ICBT untuk wanita dengan kanser serviks setempat peringkat parah.

Penemuam utama

Empat kajian yang melibatkan 1265 wanita telah disertakan dalam analisis meta kami untuk membandingkan HDR and LDR ICBT. Keputusan terkumpul menunjukkan tiada perbezaan yang ketara berkenaan dengan kadar kemandirian keseluruhan 3-, 5- dan 10-tahun; kadar kemandirian khusus penyakit 5- dan 10-tahun; kemandirian bebas kambuh 3- dan 5-tahun; kadar kawalan tempatan 3- dan 5-tahun dan berulang setempat dan jauh. Hanya berkaitan dengan komplikasi, HDR ICBT menunjukkan sedikit peningkatan bilangan komplikasi usus kecil. Keputusan-keputusan ini mengesahkan bahawa tiada perbezaan yang ketara dalam keberkesanan dan keselamatan HDR berbanding LDR ICBT untuk wanita dengan kanser serviks setempat peringkat parah.

Kualiti bukti

Kami menyertakan tiga kajian rawak terkawal dan satu kajian separa rawak terkawal. Cara perambangan diterangkan hanya dalam dua kajian tetapi mereka tidak memberikan butiran mengenai penyembunyian peruntukan dan pembutaan. Walau bagaimanapun. semua kajian berisiko rendah untuk berat sebelah untuk data hasil kajian yang tidak lengkap (berat sebelah atrisi) dan pelaporan terpilih (berat sebelah pelaporan). Pendekatan metodologi yang berbeza yang digunakan dalam kajian menghalang sebarang kesimpulan yang jelas dicapai mengenai kualiti bukti. Mengikut GRADE, kualiti bukti adalah rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information