Berkesankah senaman otot lantai pelvis yang dilakukan semasa hamil atau selepas bersalin untuk mencegah atau merawat inkontinens?

Soalan ulasan

Untuk menilai sama ada melakukan senaman otot pelvis (PFME) semasa hamil atau selepas bersalin mengurangkan inkontinens. Ini adalah kemas kini ulasan terbitan 2012.

Latar belakang

Lebih satu pertiga wanita mengalami masalah pengaliran keluar air kencing (inkontinens urinari) secara tidak sengaja (luar kawal) di trimester kedua dan ketiga kehamilan dan kira-kira satu pertiga kebocoran air kencing berlaku dalam tempoh tiga bulan pertama selepas bersalin. Lebih kurang satu perempat wanita mengalami kentut (angin) atau najis (inkontinens anus) tak terkawal pada akhir kehamilan dan satu perlima mengalami kebocoran angin atau najis setahun selepas bersalin. PFME sering disyorkan oleh para profesional kesihatan ketika hamil dan selepas bersalin untuk mencegah dan merawat inkontinens. Otot-otot yang terlibat akan diperkukuhkan dan sentiasa kuat dengan melakukan PFME secara berkala. Otot-otot akan menguncup beberapa kali berturut-turut, lebih daripada sekali sehari, beberapa hari seminggu dan berterusan selama-lamanya.

Adakah ulasan ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 16 Februari 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 38 kajian (17 adalah kajian baharu dalam kemas kini ini) yang melibatkan 9892 wanita dari 20 buah negara. Kajian-kajian ini termasuklah wanita hamil atau wanita yang telah melahirkan bayi mereka dalam tempoh tiga bulan. Wanita melaporkan kebocoran air kencing, najis, kedua-dua air kencing atau najis, atau tiada kebocoran. Mereka telah ditetapkan secara rawak untuk menerima PFME (untuk cuba elakkan inkontinens atau sebagai rawatan untuk inkontinens) atau tidak dan kesan-kesannya dibandingkan.

Sumber-sumber pembiayaan kajian

Sembilan belas kajian telah dibiaya awam. Satu kajian telah menerima geran daripada sumber-sumber awam dan swasta. Tiga kajian tidak menerima sebarang pembiayaan dan 15 kajian tidak mengisytiharkan sumber-sumber pembiayaan.

Keputusan utama

Wanita hamil tanpa kebocoran air kencing yang melakukan PFME untuk mengelakkan kebocoran: wanita mungkin melaporkan kurang kebocoran air kencing pada akhir kehamilan dan tiga hingga enam bulan selepas bersalin. Tiada cukup maklumat untuk menentukan sama ada kesan-kesan ini berterusan sehingga melepasi tahun pertama selepas kelahiran bayi.

Wanita dengan kebocoran air kencing, hamil atau selepas bersalin, yang melakukan PFME sebagai rawatan: Adalah tidak pasti sama ada melakukan PFME semasa hamil mengurangkan kebocoran di akhir kehamilan atau dalam setahun selepas kelahiran bayi. Adalah tidak jelas sama ada melakukan PFME membantu wanita dengan kebocoran selepas bersalin.

Wanita dengan atau tanpa kebocoran air kencing (kumpulan yang bercampur), hamil atau selepas bersalin, yang melakukan PFME dengan tujuan sama ada untuk mencegah atau merawat kebocoran: wanita yang mula bersenam semasa hamil kurang berkemungkinan untuk melaporkan kebocoran pada akhir kehamilan dan sehingga enam bulan selepas bersalin, tetapi tidak pasti sama ada dapat kesannya bertahan selama satu tahun selepas bersalin. Bagi wanita yang memulakan PFME selepas bersalin, kesan ke atas kebocoran satu tahun selepas kelahiran adalah tidak pasti.

Kebocoran najis: beberapa kajian (hanya enam) mempunyai bukti mengenai kebocoran najis. Satu tahun selepas bersalin, adalah tidak pasti jika PFME boleh membantu mengurangkan kebocoran najis dlam kalangan wanita yang mula bersenam selepas bersalin. Adalah tidak pasti juga jika wanita dengan atau tanpa kebocoran najis (kumpulan bercampur) yang telah memulakan PFME ketika hamil kurang cenderung untuk kebocoran najis di akhir kehamilan atau sehingga satu tahun selepas bersalin.

Terdapat sedikit maklumat mengenai bagaimana PFME boleh mempengaruhi kebocoran yang berkaitan dengan kualiti kehidupan. Terdapat dua laporan kesakitan otot lantai pelvis tetapi tiada kesan-kesan mudarat lain PFME direkodkan. Adalah tidak diketahui sama ada PFME menawarkan nilai untuk wang kerana tiada kajian yang menganalisis ekonomi kesihatan. Adalah tidak diketahui jika PFME menawarkan nilai untuk wang kerana tiada data ekonomi kesihatan dikenal pasti.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kajian-kajian yang dijalankan tidaklah besar dan kebanyakannya mempunyai masalah reka bentuk, termasuklah butiran terhad tentang bagaimana wanita dibahagikan secara rawak ke dalam beberapa kumpulan, dan laporan ukuran yang tidak tepat. Beberapa masalah telah dijangka kerana adalah mustahil untuk mengelakkan profesional kesihatan atau wanita dari mengetahui sama ada mereka (berada dalam kumpulan) bersenam atau tidak. PFME amat berbeza di antara kajian-kajian dan sering sukar untuk dijelaskan. Kualiti bukti secara umumnya adalah rendah dan sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rosediani Muhamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi drrosediani@gmail.com

Tools
Information
Share/Save