Berkesankah latihan otot lantai pelvis yang dibuat semasa hamil atau selepas bersalin untuk mencegah atau merawat inkontinens?

Soalan ulasan

Untuk menilai sama ada melakukan latihan otot lantai pelvis (PFMT) semasa hamil atau selepas bersalin mengurangkan inkontinens.

Latar belakang

Lebih satu pertiga wanita mengalami pengaliran air kencing yang tidak sengaja (tak voluntari) (inkontinens urinari) di trimester kedua dan ketiga kehamilan dan kira-kira satu pertiga kebocoran urin dalam tempoh tiga bulan pertama selepas bersalin. Hampir satu perempat wanita mengalami kentut (angin) atau najis tak terkawal (inkontinens anus) di akhir kehamilan, dan satu perlima mengalami kebocoran angin atau najis setahun selepas bersalin. Mengurus inkontinens selepas kehamilan bukan sahaja penting bagi individu sendiri tetapi boleh juga melibatkan kos yang besar bagi individu dan sistem penjagaan kesihatan.

PFMT sering disyorkan oleh para profesional kesihatan ketika hamil dan selepas bersalin untuk mencegah dan merawat inkontinens. Otot-otot tersebut akan diperkukuhkan dan sentiasa kuat dengan regular melakukan PFMT. Otot-otot akan kontraksi beberapa kali berturut-turut, lebih daripada sekali sehari, beberapa hari seminggu dan berterusan.

Adakah ulasan ini mutakhir?

Bukti ini adalah terkini sehingga 7 Ogos 2019.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan 46 kajian melibatkan 10,832 wanita dari 21 negara. Kajian-kajian melibatkan wanita hamil atau wanita yang melahirkan bayi mereka dalam tempoh tiga bulan yang lalu, dan yang melaporkan kebocoran urin, najis, keduan-dua urin atau najis, atau tiada kebocoran. Mereka telah dirawak untuk menerima PFMT (sama ada untuk cuba elakkan inkontinens atau sebagai rawatan untuk inkontinens) atau tidak dan kesan-kesannya dibandingkan.

Sumber pembiayaan kajian

Dua puluh lima kajian dibiaya awam, salah satunya mendapat geran dari sumber awam dan swasta. Tiga kajian tidak menerima pembiayaan dan 18 kajian tidak mengisytiharkan sumber-sumber pembiayaan mereka.

Keputusan utama

Wanita hamil tanpa kebocoran air kencing yang melakukan PFMT untuk mengelakkan kebocoran: wanita mungkin melaporkan kurang kebocoran air kencing pada akhir kehamilan dan risikanya sedikit kurang pada tiga hingga enam bulan selepas bersalin. Tiada cukup maklumat untuk menentukan sama ada kesan-kesan ini berterusan sehingga melepasi tahun pertama selepas kelahiran bayi.

Wanita dengan kebocoran urin, hamil atau selepas bersalin, yang melakukan PFMT sebagai rawatan: tiada bukti bahawa melakukan PFMT semasa hamil mengurangkan kebocoran di akhir kehamilan atau dalam setahun selepas kelahiran.

Wanita dengan atau tanpa kebocoran urin (kumpulan campuran), hamil atau selepas bersalin, yang melakukan PFMT untuk mencegah atau merawat kebocoran: wanita yang mula bersenam semasa hamil mungkin mengalami sedikit kebocoran pada akhir kehamilan yang mungkin berlanjutan hingga enam bulan selepas bersalin. Tiada bukti kesan pada satu tahun selepas kelahiran. Bagi wanita yang memulakan senaman selepas bersalin, kesan ke atas kebocoran satu tahun selepas kelahiran adalah tidak pasti.

Kebocoran najis: hanya lapan kajian mempunyai bukti tentang kebocoran najis. Selepas satu tahun bersalin, adalah tidak pasti jika PFMT membantu mengurangkan kebocoran najis dalam kalangan wanita yang mula bersenam sejurus selepas bersalin. Bagi wanita dengan atau tanpa kebocoran najis (kumpulan campuran) yang memulakan PFMT ketika hamil, tiada bukti perbezaan dalam kebocoran najis pada akhir kehamilan; bagi mereka yang memulakan PFMT setelah melahirkan tiada bukti pengurangan kebocoran hingga satu tahun selepas kelahiran.

Terdapat sedikit maklumat bagaimana PFMT boleh mempengaruhi kebocoran yang berkaitan dengan kualiti hidup. Terdapat dua laporan kesakitan otot lantai pelvis tetapi tiada kesan-kesan mudarat lain PFMT direkodkan.

Tiada bukti sama ada PFMT kos efektif atau tidak.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, kebanyakan kajian adalah kecil dan bermasalah reka bentuk, termasuk butiran terhad bagaimana wanita dirawak ke dalam kumpulan-kumpulan, dan pelaporan ukuran-ukuran yang lemah. Beberapa masalah sememangnya dijangka kerana mustahil untuk membutakan profesional kesihatan atau wanita sama ada mereka bersenam atau tidak. PFMT berbeza-beza di antara kajian-kajian dan sering tidak jelas. Kualiti bukti secara am adalah rendah hingga sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Rosediani Muhamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information