Nasihat kebersihan mulut secara persendirian bagi kesihatan oral

Soalan ulasan

Tujuan ulasan ini adalah untuk menilai kesan nasihat kebersihan oral secara persendirian, yang diberikan oleh ahli pasukan pergigian di tempat rawatan pergigian, ke atas kesihatan oral pesakit, kebersihan, tingkah laku, dan sikap berbanding kepada tiada nasihat atau nasihat dalam format yang lain.

Latar belakang

Tabiat kebersihan oral yang lemah diketahui berkait rapat dengan peningkatan kadar kerosakan gigi dan penyakit gusi. Pasukan pergigian secara rutin menilai kaedah-kaedah kebersihan oral, kekerapan dan keberkesanan atau sebaliknya rutin-rutin kebersihan oral yang dilakukan oleh para pesakit; nasihat kebersihan oral secara persendirian biasanya dilakukan oleh ahli pasukan pergigian dengan tujuan mendorong dan menambahbaik kesihatan oral individu-individu tersebut. Kaedah paling berkesan penyampaian nasihat secara persendirian di tempat rawatan pergigian adalah tidak jelas. Tujuan ulasan ini ialah untuk menentukan jika memberi pesakit nasihat kebersihan oral secara persendirian di tempat rawatan pergigian adalah berkesan dan jika benar, apakah cara terbaik untuk memberikan nasihat ini.

Ciri-ciri kajian

Pengarang-pengarang daripada Kesihatan Oral Cochrane telah menyediakan ulasan ini dan bukti adalah terkini sehingga 10 November 2017. Kami masukkan penyelidikan di mana individu menerima nasihat kebersihan oral daripada pakar penjagaan pergigian secara persendirian di klinik rawatan pergigian dengan tempoh susulan minima selama 8 minggu.

Secara keseluruhannya, dalam 19 kajian yang telah dikenalpasti, nasihat kebersihan oral telah diberikan oleh perawat kebersihan dalam lapan kajian, doktor pergigian dalam empat kajian, jururawat pergigian dalam satu kajian, doktor pergigian atau perawat kebersihan dalam satu kajian, jururawat pergigian dan perawat kebersihan dalam satu kajian, dan nasihat kebersihan oral oleh jururawat pergigian dibandingkan dengan kumpulan kawalan yang menggunakan intervensi sendiri dalam satu kajian. Adalah tidak jelas dalam tiga kajian ahli pasukan pergigian yang mana yang telah menjalankan intervensi. Lebih separuh daripada kajian (10 dari 19) telah dijalankan di dalam hospital, dengan hanya lima kajian dijalankan di tempat rawatan pergigian umum (di mana kebanyakannya nasihat kebersihan oral diberikan).

Keputusan utama

Secara keseluruhannya kami menemui bukti yang tidak cukup untuk mengesyorkan mana-mana kaedah nasihat kebersihan oral secara persendirian yang spesifik sebagai lebih berkesan daripada yang lain bagi mengekalkan atau menambahbaik kesihatan oral.

Kami dapati kajian mempunyai kepelbagaian di dalam cara penyampaian nasihat kebersihan oral, dilakukan oleh siapa dan apakah hasil yang dikaji. Disebabkan oleh perkara ini, terdapat kesukaran untuk membandingkan kajian-kajian ini. Kajian pada masa hadapan perlu direkabentuk dengan baik dan dijalankan untuk memberi kesimpulan yang lebih tepat mengenai kaedah paling berkesan untuk mengekalkan atau menambahbaik kesihatan oral melalui nasihat kebersihan oral secara persendirian yang disampaikan oleh pakar penjagaan pergigian di tempat rawatan pergigian.

Kualiti bukti

Kami menilai kualiti bukti sebagai sangat rendah kerana masalah reka bentuk kajian-kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information