Koenzim Q10 untuk tekanan darah tinggi

Latar belakang

Tekanan darah tinggi adalah satu masalah yang biasa dan boleh meningkatkan risiko untuk menghidap penyakit-penyakit seperti serangan jantung, strok dan penyakit ginjal. Koenzim Q10, yang merupakan salah satu supleman nutrisi tanpa preskripsi, telah dicadangkan sebagai ubat yang berpotensi mengurangkan tekanan darah. Apabila rumusan ini disiapkan dan diterbitkan pada Oktober 2009, kesimpulannya adalah "oleh sebab terdapat kemungkinan bahawa ketiga-tiga kajian yang telah dinilai tidak boleh dipercayai, adalah tidak pasti sama ada koenzim Q10 mampu mengurangkan tekanan darah dalam hipertensi primer atau tidak dalam jangka masa panjang".

Soalan ulasan

Kami telah bertanya sama ada koenzim Q10 berbanding plasebo mempunyai kesan terhadap tekanan darah dalam pesakit hipertensi atau tidak.

Ciri-ciri kajian

Dalam ulasan kemaskini ini, pangkalan-pangkalan data yang mengandungi kajian klinikal berdaftar dan laporan kajian telah dicari hingga 10 November 2015 untuk mendapatkan kajian-kajian yang menguji kesan-kesan koenzim Q10 terhadap tekanan darah para pesakit. Satu kajian baru telah ditemukan, manakala satu kajian dalam ulasan asal telah digugurkan. Kajian-kajian ini telah mengukur kesan-kesan penggunaan koenzim Q10 selama 8 hingga 12 minggu terhadap tekanan darah dalam kalangan lelaki dan wanita yang tidak dimasukkan ke hospital. Satu daripada tiga kajian didapati mempunyai risiko serong yang terlalu tinggi dan tidak disertakan dalam analisis terkumpul. Jumlah pesakit yang dikaji dalam dua kajian terkumpul berkenaan adalah 50.

Keputusan utama

Data terkumpul daripada dua ujikaji menunjukkan bahawa koenzim Q10 tidak mempunyai kesan terhadap tekanan darah jika dibandingkan dengan plasebo. Bilangan pesakit yang berhenti menggunakan ubat berkenaan oleh sebab kesan sampingan juga merupakan suatu hasil kajian yang ada kepentingan. Dalam satu daripada tiga kajian yang dinilai, koenzim Q10 diterima dengan baik dan tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.

Kualiti bukti

Ulasan ini memberikan bukti berkualiti sederhana bahawa koenzim Q10 tidak mengurangkan tekanan darah. Namun begitu, kajian-kajian yang lebih baik perlu dilaksanakan untuk mengesahkan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Tan Wing (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi jame5wtan93@gmail.com.

Tools
Information
Share/Save