Soalan ulasan
Adakah oral suplemen antioksidan dapat meningkatkan hasil kesuburan bagi lelaki subfertil jika dibandingkan dengan plasebo, tiada rawatan atau yang mengambil antioksidan lain?
Latar belakang
Pasangan boleh dikatakan mempunyai masalah kesuburan jika gagal hamil selepas setahun mencuba. Ramai lelaki subfertil yang menjalani rawatan kesuburan mengambil suplemen diet dengan harapan untuk meningkatkan kesuburan mereka. Rawatan fertiliti boleh menyebabkan keadaan yang sangat tertekan bagi lelaki dan pasangannya. Adalah penting kepada pasangan-pasangan ini mempunyai akses kepada bukti berkualiti tinggi yang akan membolehkan mereka membuat keputusan sama ada untuk mengambil suplemen antioksidan atau tidak. Perkara ini amat penting kerana kebanyakan suplemen antioksidan tidak dikawal di bawah peraturan ubat-ubatan. Kajian ini bertujuan untuk menilai sama ada oral suplemen antioksidan, diambil oleh lelaki yang subfertil, akan meningkatkan peluang untuk hamil (klinikal) yang disahkan oleh ultrasound dan berakhir dengan kelahiran bayi (kelahiran hidup). Semakan ini tidak pula meneliti penggunaan antioksidan dalam kalangan lelaki yang mempunyai sperma normal.
Ciri-ciri kajian
Penulis Cochrane telah menjalankan semakan ke atas 61 percubaan terkawal rawak yang membandingkan 18 antioksidan yang berbeza dengan plasebo, tiada rawatan atau antioksidan yang lain yang melibatkan seramai 6264 lelaki subfertil. Julat umur peserta adalah 18 hingga 65 tahun; ia adalah sebahagian daripada pasangan yang telah dirujuk ke klinik kesuburan dan sesetengah telah menjalani rawatan kesuburan. Bukti terkini adalah sehingga Februari 2018.
Keputusan utama
Antioksidan boleh dikaitkan dengan peningkatan kelahiran hidup dan kadar kehamilan klinikal. Berdasarkan kajian populasi kelahiran hidup, kami menjangkakan daripada100 lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, 12 pasangan akan mendapat seorang bayi, berbanding antara 14 hingga 26 pasangan daripada setiap 100 yang akan mendapat seorang bayi jika mengambil antioksidan. JIka kajian berisiko tinggi dihapuskan daripada analisis tersebut, tiada bukti peningkatan kelahiran hidup. Dalam kalangan mereka yang dikaji untuk kehamilan klinikal, kami menjangkakan daripada 100 lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, tujuh pasangan akan mendapat kehamilan klinikal, berbanding 12 hingga 26 pasangan bagi setiap 100 pasangan jika lelaki itu mengambil antioksidan. Kesan sampingan yang tidak diingini jarang dilaporkan. Walau bagaimanapun berdasarkan kepada tiga kajian, kami boleh menyimpulkan bahawa keguguran tidak berlaku lebih kerap jika mengambil antioksidan. Penggunaan antioksidan boleh menyebabkan lebih gangguan gastrousus, bermakna bahawa kita menjangkakan daripada 100 lelaki subfertil yang tidak mengambil antioksidan, dua akan mempunyai gangguan gastrousus berbanding antara dua hingga sembilan lelaki yang mengambil antioksidan.
Kualiti bukti dan kesimpulan
Suplemen antioksidan yang diambil oleh lelaki subfertil yang dirawat di klinik kesuburan boleh meningkatkan kemungkinan kelahiran hidup. Walau bagaimanapun kualiti keseluruhan bukti adalah rendah dan hanya melibatkan tujuh kajian rawak terkawal yang kecil. Bukti berkualiti rendah menunjukkan bahawa kadar kehamilan klinikal mungkin meningkat. Secara keseluruhannya, tidak terdapat bukti peningkatan risiko keguguran, tapi bukti berkualiti sangat rendah menunjukkan bahawa antioksidan boleh menyebabkan gangguan gastrousus yang ringan. Pasangan subfertil mestilah diberitahu bahawa bukti semasa tidak dapat memaklumkan dengan tepat kebaikan antioksidan dalam kalangan lelaki subfertil kerana terdapat kelemahan dalam melaporkan kaedah kajian yang dijalankan, kegagalan untuk melaporkan kadar kelahiran hidup dan kehamilan klinikal, ketidak pastian keputusan kerana kadar keputusan yang rendah, bilanngan pesakit yang meninggalkan kajian yang tinggi dan saiz kumpulan kajian yang kecil. Kajian rawak terkawal menggunakan plasebo dengan jumlah yang besar yang dapat melaporkan mengenai kehamilan dan kelahiran hidup masih dikehendaki untuk menjelaskan peranan sebenar antioksidan.
Diterjemahkan oleh Nik Hazlina Nik Hussain (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hazlinakck@usm.my