Ujian perubatan praoperatif rutin untuk pembedahan katarak

Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk menentukan samada ujian perubatan praoperatif perlu dilakukan sebelum pembedahan katarak.

Mesej utama
Ujian perubatan praoperatif tidak mengurangkan risiko peristiwa buruk semasa atau selepas pembedahan katarak apabila dibandingkan dengan ujian selektif atau tanpa ujian.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?
Pembedahan katarak diamalkan dengan meluas, dan sumber yang besar digunakan untuk meningkatkan kadar pembedahan katarak di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Dengan jumlah pembedahan katarak semasa dan peningkatan di masa depan, adalah kritikal untuk mengoptimumkan keselamatan dan keberkesanan kos prosedur. Kebanyakan katarak adalah berkait dengan umur, oleh itu pembedahan dilakukan kepada individu yang lebih berusia dengan keadaan mata dan keadaan kesihatan lain. Ada kemungkinan ujian perubatan praoperatif akan mengesan keadaan perubatan, tetapi menjadi persoalan sama ada keadaan-keadaan ini menghalang individu tersebut dari pembedahan katarak atau menukar pengurusan perioperatif.

Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami memasukkan tiga kajian di dalam ulasan ini. Satu kajian adalah dari Kanada dan Amerika Syarikat, satu dari Brazil dan yang ketiga dari Itali. Kajian-kajian tersebut membandingkan ujian perubatan praoperatif rutin dengan yang selektif atau tanpa ujian. Peserta-peserta kajian disusuli dari satu minggu hingga dua bulan selepas pembedahan.

Ulasan ini menunjukkan yang berikut:

• Ujian perubatan praoperatif tidak mengurangkan risiko kejadian buruk semasa atau selepas pembedahan katarak apabila dibanding dengan ujian selektif atau tanpa ujian (bukti kepastian tinggi). Ketiga-tiga kajian melaporkan keputusan untuk 21,531 pembedahan katarak, dengan 707 peristiwa buruk berkait dengan pembedahan, termasuk 61 yang dimasukkan ke hospital dan tiga kematian. Daripada 707 peristiwa buruk perubatan yang dilaporkan, 353 berlaku di dalam kumpulan pra-ujian dan 354 berlaku di dalam kumpulan tanpa ujian.
• Tiada perbezaan jelas dilihat bagi kejadian peristiwa buruk yang berkait dengan mata, semasa dan selepas pembedahan (bukti kepastian sederhana).
• Satu kajian menilai kos, menganggarkan kos 2.55 kali lebih tinggi dalam kalangan mereka yang menjalani ujian praoperatif perubatan rutin berbanding mereka yang selektif ujian praoperatif (bukti kepastian sederhana).
• Tiada perbezaan di dalam pembatalan pembedahan di antara peserta dengan ujian perubatan praoperatif dengan peserta tanpa atau selektif ujian perubatan praoperatif (bukti kepastian tinggi).
• Tiada kajian melaporkan perubahan dalam pengurusan pembedahan (selain pembatalan pembedahan) atau ukuran kualiti hidup (tiada bukti).

Adakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 29 Jun 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi gwaldie@outlook.com

Tools
Information
Share/Save