Alat tekanan dada secara mekanikal untuk serangan jantung

Soalan ulasan

Kami mengkaji kaedah tekanan dada (menggunakan teknik tangan tradisional berbanding dengan menggunakan Mesin) menyebabkan lebih banyak nyawa yang diselamatkan semasa kardiopulmonari resuspetikan (CPR) untuk serangan jantung.

Latar belakang

'Serangan jantung mengejut' berlaku apabila jantung seseorang berhenti mengepam secara tidak dijangka. Resusitasi kardiopulmonari, dirujuk sebagai CPR, melibatkan rentak tekanan pada dada mangsa serangan jantung untuk memberikan aliran darah. Ini boleh memastikan darah mengalir ke organ penting mangsa semasa jantung tidak mengepam. CPR telah terbukti untuk meningkatkan peluang bahawa jantung akan mula semula dan mangsa akan terus hidup. Mesin telah dicipta untuk mengambil alih tindakan mengepam dada ini menggunakan pistons automatik, jaket pneumatik, atau mekanisme seperti getah. Teorinya adalah bahawa mesin ini harus mampu untuk menyediakan tindakan yang lebih berkesan untuk mengepam daripada apa yang dilakukan oleh manusia kerana mesin tidak berhenti seketika atau penat. Tambahan pula, mereka menyediakan tekanan dan masa yang konsisten pada setiap tekanan dada selaras dengan amalan yang berasaskan bukti. Beberapa kajian awal menggunakan mesin ini telah menunjukkan bahawa ia mudah untuk digunakan dan boleh menyelamatkan orang yang terkena serangan jantung. Ini adalah kemaskini bagi Cochrane Review pada peranti mampatan dada mekanikal yang asalnya diterbitkan pada 2011 dan dikemaskini terakhir pada 2014.

Ciri-ciri kajian

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2017. Kami mencari penulisan dan mendapati sejumlah 2554 petikan berkaitan yang berpotensi. Selepas mengkaji setiap daripada ini, kami mendapati 11 artikel menerangkan ujian klinikal yang boleh membantu kita menjawab soalan kita. Setelah diambil kira, kajian ini termasuk 12,944 peserta dewasa yang mengalami serangan jantung sama ada dalam hospital atau di luar hospital. Kajian terbaru yang dikenal pasti dalam kemas kini kali ini adalah lebih besar dan berkualiti tinggi daripada yang telah dikenal pasti dalam versi terdahulu kajian ini. Beberapa kajian telah ditaja oleh pengilang peranti.

Keputusan utama

Kami mendapati bahawa kajian yang ada mempunyai perbezaan yang penting antara satu sama lain. Perbezaan yang paling penting ialah jenis peranti mekanikal yang dikaji dan jenis protokol CPR yang disediakan untuk pesakit yang ditugaskan kepada kumpulan tekanan dada manual. Perbezaan ini membuat perbandingan antara kajian yang mencabar. Beberapa kajian melaporkan peningkatan dalam kadar kelangsungan hidup untuk pesakit yang dirawat dengan tekanan dada mekanikal berbanding pesakit yang dirawat dengan tekanan dada manual, manakala yang lain tidak melaporkan perbezaan atau malah mencadangkan kemudaratan yang berkaitan dengan tekanan dada mekanikal. Apabila mempertimbangkan semua kajian yang dikenal pasti bersama-sama, ia seolah-olah seperti peranti tekanan dada mekanikal mungkin mempunyai kesan yang sama pada kelangsungan hidup apabila dibandingkan dengan tekanan dada secara manual yang berkualiti tinggi.

Kualiti bukti

Dengan kemasukan beberapa kajian yang besar, kualiti keseluruhan bukti telah meningkat dengan ketara, dan kini boleh dianggap rendah kepada kualiti sederhana.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save