Cendawan Ganoderma lucidum ( lingzhi/reishi) untuk merawat faktor risiko kardiovaskular

Apakah faktor risiko kardiovaskular?

Penyakit kardiovaskular ialah nama yang diberikan kepada sebarang penyakit, seperti serangan jantung atau strok, yang menjejaskan jantung dan sistem peredaran darah (yang menggerakkan darah ke seluruh badan). Faktor risiko penyakit kardiovaskular termasuk tekanan darah tinggi, dan paras tinggi glukosa dan kolesterol dalam darah. Orang yang mempunyai faktor risiko kardiovaskular lebih berkemungkinan mendapat serangan jantung atau strok berbanding orang yang tidak mempunyainya.

Apakah Ganoderma lucidum ?

Ganoderma lucidum ( G lucidum ), juga dikenali sebagai 'lingzhi' atau 'reishi', ialah cendawan yang biasa digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Di China, G lucidum diambil dalam bentuk rebusan tradisional (ditumbuk dan direbus dalam air), atau dalam teh atau kopi. Baru-baru ini ia telah dihasilkan sebagai ekstrak dalam tablet dan kapsul untuk pasaran barat, kerana ia kini digunakan di negara barat dengan harapan ia boleh meningkatkan kesihatan kardiovaskular.

Tujuan ulasan ini

Penyelidik dari Kolaborasi Cochrane cuba menentukan sama ada G lucidum , jika dibandingkan dengan ubat lain atau ubat palsu – dipanggil plasebo – adalah rawatan yang berkesan untuk mengurangkan faktor risiko kardiovaskular.

Apa yang ditemui oleh ulasan ini

Penyelidik mencari penulisan perubatan sehingga November 2014 untuk mengenal pasti semua penyelidikan perubatan yang berkaitan. Mereka mengenal pasti sejumlah 5 kajian perubatan yang membandingkan G lucidum dengan plasebo dalam sejumlah 398 orang dengan diabetes jenis 2. Secara keseluruhannya kualiti kajian adalah lemah. Data yang tidak diterbitkan diperolehi untuk dua daripada kajian yang disertakan dan satu kajian telah diterjemahkan daripada bahasa Cina. Dos harian G lucidum yang diambil berbeza-beza antara kajian dari 1.4 g hingga 5.4 g. Dalam 1 kajian peserta dalam kumpulan G lucidum mengambil kapsul yang mengandungi sama ada G lucidum sahaja, atau campuran G lucidum (75% daripada berat kapsul) dan satu lagi kulat yang dipanggil Cordyceps sinensis (25% daripada berat kapsul). Tempoh kajian berbeza dari 12 hingga 16 minggu.

Dua daripada 5 kajian melaporkan keputusan untuk peserta yang dirawat dengan G lucidum sahaja, tetapi bukan untuk mereka yang dirawat dengan plasebo, jadi maklumat daripada mereka tidak boleh digunakan. Baki 3 kajian dengan 157 peserta memberikan maklumat untuk analisis.

Maklumat ini menunjukkan bahawa G lucidum bukanlah rawatan yang berkesan untuk mengurangkan glukosa darah, tekanan darah, atau kolesterol. Adalah tidak jelas sama ada G lucidum mungkin mengurangkan glukosa darah selepas makan, kerana satu-satunya maklumat untuk ini datang daripada satu kajian yang kualitinya tidak dapat ditentukan.

Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukan keselamatan keseluruhan pengambilan G lucidum. Satu kajian menunjukkan beberapa peningkatan risiko kemudaratan ringan pada peserta yang mengambil G lucidum dalam bentuk loya, cirit-birit atau sembelit.

Penyelidikan masa depan dalam bidang ini harus memasukkan kajian klinikal yang dilaporkan dengan lebih baik.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information