Intervensi-intervensi untuk pencegahan mastitis selepas melahirkan anak

Kami ingin melihat keberkesanan intervensi-intervensi yang digunakan untuk mencegah wanita yang sedang menyusu daripada menghidapi keradangan tisu payu dara yang dikenali sebagai mastitis.

Apakah isunya?

Mastitis adalah komplikasi biasa daripada penyusuan susu ibu. Ia menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang agak besar dan boleh menyebabkan sesetengah ibu berhenti menyusui bayi mereka untuk seberapa lama yang mereka inginkan. Beberapa faktor menyumbang kepada kejadian mastitis, seperti saluran susu tersekat, payu dara menjadi terlalu penuh dengan susu, puting retak dan bayi tidak dapat melekap dengan betul. Mastitis boleh berlaku pada sebelah atau kedua-dua belah payu dara dan berkait dengan sebilangan gejala termasuk sakit payu dara, kemerahan dan bengkak, dan gejala seperti selesema. Gejala-gejala ini boleh berlanjutan dari dua hingga tiga hari sehingga beberapa minggu atau lebih.

Mengapakah ini penting?

Ia adalah penting untuk menyiasat rawatan-rawatan bagi mencegah mastitis agar dapat memaksimumkan hasil dan tempoh penyusuan susu ibu. Penyusuan susu ibu mempunyai manfaat besar untuk kedua-dua bayi dan ibu mereka, dan pihak berkuasa kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengesyorkan bahawa bayi baru lahir patut hanya diberi susu ibu sehingga mereka sampai usia enam bulan. Kami perlu memastikan ibu, dan para doktor dan bidan yang menjaga mereka, tahu tentang intervensi-intervensi yang terbaik untuk mencegah mastitis bagi membantu wanita berjaya menyusui untuk selama yang mereka inginkan.

Apakah bukti yang telah kami temui?

Kami mencari bukti dari kajian rawak terkawal pada Oktober 2019 dan telah mengenal pasti 10 kajian (melibatkan 3034 wanita yang sedang menyusu). Kebanyakan kajian melaporkan berapa ramai wanita yang didiagnosis dengan mastitis tetapi terdapat hampir tiada maklumat mengenai kesan-kesan sampingan, kesakitan payu dara, tempoh penyusuan susu badan, kerosakan puting, abses payu dara atau kejadian mastitis yang berulangan. Sesetengah kajian dibiayai oleh industri.

Tiga kajian (1038 wanita) membandingkan probiotik dengan plasebo. Terdapat tiada keputusan untuk kajian yang terbesar (639 wanita) pada masa ini oleh kerana perjanjian kontrak antara pihak pembekal probiotik dan pihak pengkaji. Probiotik mungkin dapat mengurangkan risiko mastitis berbanding dengan plasebo (bukti berkepastian rendah). Ia tidak pasti sama ada probiotik mengurangkan risiko kesakitan payu dara atau kerosakan puting kerana kepastian bukti adalah sangat rendah.

Risiko mastitis mungkin serupa antara antibiotik dan rawatan biasa atau plasebo (bukti berkepastian rendah). Risiko mastitis mungkin serupa antara antibiotik dan salap asid fusidik, antibiotik dan salap mupirocin, salap asid fusidik dan nasihat penyusuan susu ibu, salap mupirocin dan nasihat penyusuan susu ibu, asid fusidik dan mupirocin, satu sesi pendidikan penyusuan susu ibu daripada pakar dan rawatan biasa, bijirin yang mendorong penghasilan faktor anti-rembesan dan bijirin biasa, tetapi kami tidak pasti tentang hasil-hasil ini kerana mereka berasal dari kajian-kajian yang mempunyai jumlah peserta yang kecil dan kualiti bukti adalah rendah.

Urutan acupoint mungkin mengurangkan risiko mastitis dan kesakitan payu dara berbanding dengan rawatan biasa (bukti berkepastian sederhana).

Urutan payu dara dan rawatan nadi frekuensi rendah mungkin boleh mengurangkan risiko mastitis berbanding dengan rawatan biasa (bukti berkepastian rendah).

Apakah maksudnya?

Urutan acupoint mungkin membantu mencegah mastitis dan kesakitan payu dara, probiotik mungkin lebih baik berbanding dengan plasebo dan urutan payu dara dan rawatan nadi frekuensi rendah mungkin lebih baik daripada rawatan biasa. Namun begitu, secara amnya, kami tidak pasti apakah rawatan yang paling berkesan untuk mencegah mastitis kerana kepastian bukti adalah rendah kerana risiko bias, jumlah wanita yang menyertai kajian adalah rendah, dan perbezaan yang besar antara rawatan-rawatan tersebut menyebabkan ia susah untuk melakukan perbandingan yang bermakna. Kami juga tidak pasti mengenai keberkesanan probiotik yang sebenarnya kerana kami mengetahui ada sekurang-kurangnya satu percubaan probiotik yang hasilnya tidak tersedia untuk umum.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save