Kayu manis untuk diabetes mellitus

Diabetes mellitus adalah satu gangguan metabolik kronik. Orang yang menghidap diabetes adalah berisiko tinggi untuk penyakit kardiovaskular (termasuk serangan jantung, strok, dan penyakit vaskular perifer seperti iskemia akut atau kronik pada kaki yang menyebabkan kesakitan yang teruk apabila berjalan jarak dekat). Terdapat juga peningkatan risiko penyakit mata, kegagalan buah pinggang, kerosakan saraf dan masalah seksual berbanding dengan populasi umum. Penambahbaikan pengawalan paras gula dalam darah boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi tersebut.

Kulit kayu manis telah ditunjukkan dalam beberapa kajian haiwan dapat menambah baik tahap gula dalam darah, walaupun kesannya dalam manusia adalah kurang jelas. Oleh itu, penulis ulasan berhasrat menentukan kesan ekstrak kayu manis oral kepada gula darah dan hasil-hasil lain. Penulis ulasan telah mengenal pasti 10 kajian rawak terkawal yang melibatkan 577 peserta diabetes mellitus. Cinnamon telah diberikan dalam bentuk tablet atau kapsul, pada dos purata 2 g setiap hari, selama empat hingga 16 minggu. Secara umumnya, kajian-kajian tersebut tidak dijalankan dengan baik dan kajian-kajian adalah kurang berkualiti.

Para penulis ulasan mendapati kayu manis tidaklah lebih berkesan berbanding plasebo, satu ubat aktif yang lain atau tanpa rawatan dalam mengurangkan tahap glukosa dan hemoglobin terglikosilat A1c (HbA1c), ukuran jangka panjang kawalan glukosa. Tiada kajian yang melihat pada kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, morbiditi, kematian dari sebarang punca atau kos. Kesan buruk rawatan kayu manis secara am adalah ringan dan tidak kerap.

Kajian lanjutan untuk menyiasat tentang manfaat dan risiko jangka panjang penggunaan kayu manis untuk diabetes mellitus adalah diperlukan. Reka bentuk kajian yang ketat, laporan kualiti kaedah kajian, dan pertimbangan hasil yang penting seperti kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan dan komplikasi diabetes, adalah bidang utama memerlukan perhatian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save