Gula tambahan xylitol untuk mencegah jangkitan telinga tengah pada kanak-kanak yang berusia sehingga 12 tahun

Soalan kajian
Kami mengkaji bukti-bukti tentang keberkesanan dan keselamatan xylitol untuk mencegah jangkitan telinga tengah akut (otitis media akut; AOM) pada kanak-kanak yang berumur sehingga 12 tahun.

Latar Belakang
AOM adalah jangkitan bakteria yang paling kerap dalam kalangan kanak-kanak pada awal usia di Amerika Syarikat. Walaupun komplikasi serius jarang berlaku, penyakit kanak-kanak ini sering ini memberikan kesan yang besar kepada sistem penjagaan kesihatan. Di Amerika Syarikat, ia mengakibatkan hampir 20 juta rawatan klinik pesakit luar. Rawatan antibiotik untuk AOM adalah agak mahal dan menimbulkan kebimbangan mengenai kewujudan jenis-jenis bakteria yang rintang terhadap antibiotik. Pembedahan adalah invasif dan mahal, dan oleh sebab ini, langkah-langkah yang berkesan untuk mencegah AOM perlu dicari. Salah satu rawatan alternatif adalah xylitol atau gula 'birch'. Xylitol telah digunakan selama beberapa dekad sebagai pemanis semulajadi bukan gula terutamanya dalam gula-gula getah, manisan, ubat gigi dan ubat-ubatan, dan boleh mengurangkan risiko kerosakan gigi.

Jangkamasa carian

Kami mencari penerbitan yang ada sehingga Disember 2016. Ini adalah versi kemaskini kepada sorotan yang diterbitkan pada 2011.

Ciri-ciri kajian
Kami mengenal pasti lima kajian klinikal yang melibatkan 3405 kanak-kanak, yang kebanyakannya dari kumpulan penyelidikan yang sama. Empat kajian dijalankan di Finland dan melibatkan sama ada kanak-kanak sihat (tiga ujian) atau kanak-kanak dengan jangkitan pernafasan akut (satu ujian). Kajian kelima telah dijalankan di Amerika Syarikat dan melibatkan kanak-kanak yang cenderung mendapat otitis dan mereka ini telah dikenalpasti dari klinik pesakit luar biasa.

Sumber-sumber pembiayaan kajian

Semua lima kajian menerima pembiayaan kerajaan; dan penyelidik kajian di Finland mempunyai paten penggunaan xylitol Amerika Syarikat untuk merawat jangkitan sistem pernafasan.

Hasil utama

Xylitol, yang dimasukkan ke dalam gula-gula getah, ubat kemam atau sirap, boleh mengurangkan berlakunya AOM dalam kalangan kanak-kanak yang sihat dengan mengurangkan berlakunya jangkitan saluran pernafasan atas akut daripada 30% kepada 22%. Tidak terdapat perbezaan dari segi kesan sampingan (iaitu, ketidakselesaan perut dan ruam). Berdasarkan keputusan ini, kami juga menjangka daripada 1000 kanak-kanak berusia sehingga 12 tahun, 299 akan mengalami AOM berbanding antara 194 dan 263 kanak-kanak sahaja yang akan mengalami AOM jika diberi gula-gula getah dengan xylitol. Kesan pencegahan dalam kalangan kanak-kanak sihat dengan jangkitan pernafasan atau dalam kalangan kanak-kanak yang cenderung mendapat otitis adalah tidak muktamad.

Kualiti bukti
Kualiti bukti adalah sederhana bagi kanak-kanak yang sihat dan kanak-kanak dengan jangkitan saluran pernafasan tetapi rendah untuk kanak-kanak yang cenderung mendapat otitis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my

Tools
Information
Share/Save