Pregabalin untuk kesakitan neuropatik kronik di kalangan orang dewasa

Asas

Terdapat bukti kualiti sederhana menunjukkan bahawa pregabalin yang diambil melalui mulut pada dos 300 mg atau 600 mg setiap hari mempunyai kesan yang penting di kalangan mereka yang mempunyai kesakitan neuropatik yang sederhana atau teruk akibat penyakit kayap atau kencing manis. Bukti berkualiti rendah mencadangkan bahawa pregabalin yang diambil melalui oral adalah berkesan selepas trauma akibat strok atau kecederaan saraf tunjang. Pregabalin nampaknya tidak berkesan untuk kesakitan neuropatik yang dikaitkan dengan HIV. Bukti yang sangat terhad boleh didapati untuk sakit belakang neuropatik, sakit kanser neuropatik, dan beberapa jenis sakit neuropatik yang lain.

Latar belakang

Kesakitan neuropatik berpunca daripada kerosakan pada sistem saraf. Ia berbeza daripada mesej kesakitan yang dibawa oleh saraf yang sihat daripada tisu tercedera (contohnya, daripada jatuh atau luka, atau sakit sendi lutut). Sakit neuropatik sering dirawat dengan ubat-ubatan yang berlainan daripada ubat-ubatan yang digunakan untuk meredakan sakit daripada tisu yang tercedera, yang kita gelar sebagai ubat penahan sakit. Ubat-ubatan yang kadang-kala digunakan untuk merawat kemurungan atau sawan boleh menjadi berkesan bagi sesetengah orang yang mengalami kesakitan neuropatik. Antaranya termasuk pregabalin. Definisi kami tentang keputusan yang bagus ialah merujuk kepada pengurangan tahap kesakitan yang tinggi dan hampir tiada kesan sampingan yang boleh menyebabkan pesakit berhenti mengambil ubat.

Ciri-ciri kajian

Pada April 2018, kami melakukan kemas kini dengan mencari percubaan-percubaan klinikal yang menggunakan pregabalin bagi merawat sakit neuropatik di kalangan orang dewasa. Kami menemukan 31 kajian baru dengan melibatkan 8045 peserta. Secara keseluruhan, kami menyertakan 45 kajian secara rawak melibatkan 11,906 peserta untuk rawatan dengan pregabalin, plasebo atau ubat-ubatan lain. Tempoh kajian antara 2 hingga 16 minggu. Kebanyakan kajian melaporkan hasil yang berfaedah yang dianggap penting oleh mereka yang mengalami sakit neuropatik. Keputusan yang didapati kebanyakkannya untuk kesakitan selepas penyakit kayap dan kesakitan akibat kecederaan saraf disebabkan diabetes.

Keputusan utama

Bagi sakit selepas jangkitan kayap, 3 daripada 10 orang mengalami pengurangan tahap kesakitan sebanyak separuh atau lebih dengan ubat pregabalin 300 mg atau 600 mg diambil setiap hari, dan 2 daripada 10 orang dengan plasebo (bahan menyerupai ubat yang tidak mengandungi bahan aktif). Sakit dikurangkan sebanyak satu per tiga atau lebih bagi 5 daripada 10 orang dengan ubat pregabalin 300 mg atau 600 mg setiap hari, dan 3 daripada 10 dengan plasebo. Bagi sakit disebabkan kencing manis, 3 atau 4 daripada 10 orang mengalami pengurangan sakit sebanyak separuh atau lebih dengan pregabalin 300 mg atau 600 mg diambil setiap hari, dan 2 atau 3 daripada 10 orang dengan plasebo. Tahap kesakitan dikurangkan sebanyak satu per tiga atau lebih bagi 5 atau 6 daripada 10 orang dengan ubat pregabalin 3000 mg atau 60000 mg setiap hari, dan 4 atau 5 daripada 10 orang dengan plasebo. Pregabalin juga membantu mereka yang mempunyai diagnosis yang bercampur (mungkin disebabkan kesakitan selepas kayap dan menghidap diabetis) dan sakit selepas strok. Ia tidak berkesan di kalangan penghidap HIV dengan kesakitan neuropatik. Tiada bukti yang boleh dipercayai bagi jenis kesakitan neuropatik yang lain.

Kesan-kesan sampingan adalah lebih kerap dengan pregabalin (6 daripada 10) berbanding dengan plasebo (5 daripada 10). Pening dan mengantuk berlaku pada kira-kira 1 hingga 3 daripada 10 orang yang mengambil pregabalin. Kesan-kesan sampingan yang serius adalah jarang dan tidak berbeza diantara pregabalin dan plasebo. Kira-kira 1 dalam 10 orang yang mengambil pregabalin berhenti mengambilnya disebabkan oleh kesan-kesan sampingan.

Pregabalin berkesan bagi sesetengah orang yang mengalami sakit neuropatik kronik. Setakat ini tidak dapat ditentukan dengan lebih awal tentang siapa yang mendapat manfaat dan siapa yang tidak mendapat manfaat dengan menggunakan ubat ini. Pengetahuan semasa mencadangkan bahawa rawatan jangka pendek (mungkin empat minggu) adalah cara terbaik untuk memberi jangkaan tentang keberkesanan ubat ini.

Kualiti bukti

Kami telah menilai kualiti bukti menggunakan empat tahap: sangat rendah, rendah, sederhana atau tinggi. Kualiti bukti yang sangat rendah bermakna kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Kualiti bukti yang tinggi bermaksud kami sangat yakin tentang keputusannya. Kami telah menilai bahawa kebanyakan bukti adalah berkualiti sederhana, yang bermaksud bahawa walaupun penyelidikan memberikan keputusan yang bagus, keputusan pada individu mengkin berbeza dengan ketara. Isu-isu utama adalah saiz kajian yang kecil dan laporan yang tidak mencukupi tentang kaedah kajian. Keputusan tidak berubah dengan ketara sejak kajian 2009.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Mohd Faeiz Pauzi (Universiti Sultan Zainal Abidin). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi drfaeiz@gmail.com.

Tools
Information