Steroid yang disedut dengan dan tanpa salmeterol biasa untuk asma: kejadian buruk yang serius

Soalan ulasan

Adakah selamat untuk menambahkan salmeterol biasa ke kortikosteroid yang disedut (ICS) untuk orang dewasa atau kanak-kanak yang menghidap asma?

Latar belakang

Ulasan Cochrane yang lain mendapati bahawa penggunaan salmeterol biasa tanpa ICS untuk orang dewasa yang menghidap asma akan menyebabkan peningkatan kesan buruk yang serius (kematian atau kemasukan ke hospital). Kami ingin mengetahui sama ada kesan buruk (berbahaya) akan meningkat apabila orang menggunakan salmeterol biasa dengan ICS. Kami hanya melihat kesan buruk - kematian, dimasukkan ke hospital dan kesan yang mengancam nyawa. Kami tidak melihat kepada faedah penggunaan salmeterol untuk hasil lain. Kami mengemas kini ulasan ini pada tahun 2018 kerana terdapat bukti baru dari kajian rawak yang besar tentang gabungan salmeterol dengan ICS, dalam 11,679 orang dewasa serta 6208 kanak-kanak yang menghidap asma.

Ciri-ciri kajian

Secara keseluruhan, kami telah memasukkan 41 kajian dengan 27,951 orang dewasa dan lapan kajian dengan 8453 kanak-kanak. Hampir semua kajian menggunakan penyedut gabungan untuk memberikan salmeterol dengan ICS dan membandingkan hal ini dengan dos ICS yang sama untuk tempoh purata enam bulan.

Keputusan-keputusan utama

Kami tidak dapat menemui perbezaan dalam risiko kematian atau kesan buruk yang serius dalam kalangan orang dewasa atau kanak-kanak.

Sebelas daripada 14,233 orang dewasa yang menggunakan salmeterol biasa dan ICS mati, begitu juga dengan 13 daripada 13,718 orang dewasa yang menggunakan ICS biasa pada dos yang sama. Setiap 1000 orang dewasa yang dirawat selama 25 minggu, para penyelidik melaporkan satu kematian pada ICS sahaja dan risiko yang sama terhadap satu kematian pada salmeterol dan ICS (95% selang keyakinan (CI) 0 hingga 2 kematian). Tidak ada kematian daripada kajian-kajian tersebut adalah disebabkan oleh asma, penyelidik melaporkan bahawa tidak ada kematian dalam kalangan kanak-kanak.

Satu kejadian kesan buruk serius yang tidak membawa maut dari sebarang sebab telah berlaku pada 332 orang dewasa menggunakan salmeterol biasa dengan ICS berbanding 282 orang dewasa yang menggunakan ICS biasa sahaja. Untuk setiap 1000 orang dewasa yang dirawat selama 25 minggu, 21 kejadian kesan buruk yang serius berlaku pada ICS sahaja, dan risiko yang sama berlaku pada salmeterol dan ICS adalah 23 orang dewasa (95% CI 20 hingga 27).

Sebanyak 65 daripada 4229 kanak-kanak yang menggunakan salmeterol biasa dengan ICS mengalami kesan buruk yang serius dari sebarang sebab dibandingkan kepada 62 daripada 4224 kanak-kanak yang menggunakan ICS biasa sahaja. Untuk setiap 1000 kanak-kanak yang dirawat selama 23 minggu, 15 kesan buruk serius berlaku pada ICS sahaja, dan risiko yang sama berlaku pada salmeterol dan ICS dalam 15 kanak-kanak (95% CI 11 hingga 22).

Kualiti bukti

Pengulas menilai risiko keseluruhan bias untuk semua sebab kejadian sebagai rendah. Kedua-dua kajian besar baru ini melakukan penilaian bebas untuk mengenal pasti punca kejadian buruk yang berkaitan dengan asma. Ini menyebabkan data terkini tentang kejadian asma lebih dipercayai daripada yang dilaporkan sebelumnya.

Kesimpulan

Kajian-kajian melaporkan bahawa tidak ada kes kematian asma dalam kalangan 27,951 orang dewasa ataupun 8453 kanak-kanak yang dirawakkan kepada salmeterol biasa dan ICS atau ICS sahaja dalam tempoh purata enam bulan. Risiko kematian disebabkan asma apabila menerima salah satu rawatan adalah sangat rendah, tetapi, kami masih tidak pasti tentang sama ada risiko kematian asma berubah dengan menambahkan salmeterol kepada ICS.

Kami hanya dapat mengatakan bahawa anggaran terburuk kes (margin keselamatan) daripada ulasan ini adalah sekurang-kurangnya 152 orang dewasa dan 139 kanak-kanak mesti dirawat dengan gabungan salmeterol dan ICS untuk enam bulan untuk satu orang tambahan yang dimasukkan ke hospital (berbanding dengan ICS sahaja). Kemungkinan risiko tersebut harus dipertimbangkan dengan faedah yang dialami oleh orang yang mendapat rawatan gabungan.

Orang yang dipantau dalam kajian-kajian baru ini mengambil lebih daripada 90% rawatan yang ditetapkan. Ini adalah lebih banyak daripada jumlah purata ubat-ubatan yang diambil oleh orang yang bukan daripada kajian ini. Oleh itu, kesan yang ditunjukkan daripada kajian mungkin akan berbeza dengan kesan dialami oleh orang di rumah yang tidak mengambil ubat sedutan mereka seperti yang ditetapkan.

Kerana sangat sedikit orang yang mati kerana asma, kajian-kajian haruslah sangat besar untuk mengesan perbezaan dalam kadar kematian. Oleh itu, adalah tidak mungkin untuk mengetahui apakah menambahkan salmeterol ke ICS menyebabkan lebih banyak kematian dalam kalangan peserta dalam kajian rawak terkawal - kerana kajian-kajian ini akan menjadi sangat besar, sukar dijalankan, dan mahal. Mungkin lebih baik menggunakan kajian kawalan kes atau mengulas kematian akibat asma (contohnya dari rekod perubatan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information