Terapi jangka panjang dengan statin (selama sekurang-kurangnya satu tahun) telah terbukti untuk mengurangkan risiko serangan jantung, angin ahmar dan kematian dari semua sebab dalam kalangan pesakit dengan dan tanpa penyakit jantung koronari yang telah dipastikan. Tempoh awal berikutan satu sindrom koronari akut adalah peringkat yang kritikal untuk penyakit jantung koronari, dengan risiko tinggi untuk peristiwa berulang dan kematian. Kami bertujuan untuk menentukan sama ada permulaan terapi statin yang awal akan meningkatkan hasil yang berkaitan dengan pesakit dalam tempoh empat bulan pertama berikutan satu sindrom koronari akut. Ulasan ini adalah kemas kini daripada satu ulasan yang telah diterbitkan pada tahun 2011 yang meliputi 18 kajian, mendaftar pesakit sebanyak 14,303 pesakit. Kemas kini ini tidak mengenalpasti sebarang kajian yang baru untuk disertakan. Kami tidak mendapati pengurangan risiko untuk semua-punca kematian, serangan jantung atau angin ahmar yang signifikan dalam tempoh empat bulan pertama. Kami mempunyai beberapa kebimbangan tentang risiko serong dan ketidaktentuan hasil daripada kajian-kajian tersebut. Risiko angina tidak stabil telah dikurangkan sebanyak kira-kira 25% pada bulan keempat selepas sindrom koronari akut. Kesan sampingan yang serius daripada rawatan awal dengan statin jarang berlaku (0.1%), dan kesan toksik ke atas otot yang serius kebanyakannya berlaku dengan simvastatin 80 mg.
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my