Ujian fibronektin janin untuk mengurangkan risiko lahir pramasa

Apakah isu-isunya?

Untuk menilai keberkesanan pengurusan wanita hamil berdasarkan pengetahuan tentang keputusan ujian fibronektin janin untuk mencegah lahir pramasa berbanding tiada pengetahuan tersebut. Fibronektin janin (FFN) bertindak sebagai 'glu' di antara kehamilan dan rahim. Biasanya, paras FFN yang sangat rendah boleh ditemui di dalam rembesan faraj dan serviks. Paras yang meningkat selepas atau pada 22 minggu dikaitkan dengan peningkatan risiko untuk lahir pramasa spontan.

Mengapakah ini penting?

Kelahiran pramasa sebelum 37 minggu adalah punca utama bayi tidak sihat dan kematian bayi baru lahir. Kebanyakan wanita yang melahirkan pramasa menunjukkan simptom awal seperti kontraksi tetapi ramai wanita dengan gejala-gejala dapat bersalin cukup bulan (37 minggu atau lebih). Fibronektin janin (FFN), adalah ujian yang boleh mengenal pasti wanita dengan simptom pelahiran pramasa yang berisiko melahirkan pramasa. Paras FFN disukat di dalam remebesan faraj atau serviks.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mendapati enam kajian rawak terkawal melibatkan 546 wanita yang hamil dengan satu janin dan menunjukkan tanda-tanda pelahiran pramasa di antara 23 hingga 34 minggu gestasi. Kami menggred bukti berikut sebagai berkualiti rendah kerana jumlah wanita yang kecil di dalam kajian-kajian dan terdapat banyak variasi di dalam penemuan kajian. Kami mendapati bilangan kelahiran sebelum 37 minggu mungkin dikurangkan apabila wanita dan doktor mengetahui keputusan ujian FFN (20.7% berbanding 29.2%; 5 kajian; 434 wanita). Walalu bagaimanapun, pengetahuan tentang keputusan FFN memberi sedikit ataupun tiada perbezaan untuk hasil lain dengan data sedia ada termasuk: hospitalisasi maternal (5 kajian, 441 wanita); penggunaan relaksan rahim (tocolysis) untuk mencegah pelahiran; kelahiran pramasa yang lebih awal; umur gestasi wanita semasa bersalin; bayi-bayi dengan berat lahir kurang dari 2500g; kematian bayi baru lahir; bilangan bayi dengan sindrom distres respiratori; memberi steroid untuk mematangkan paru-paru bayi; dan bilangan hari di unit penjagaan neonatal intensive (NICU).

Apakah maksudnya?

Ulasan enam kajian ini tidak menemui cukup bukti untuk menyatakan sama ada ujian FFN harus diguna dalam pengurusan wanita yang menunjukkan tanda-tanda pelahiran pramasa. Ujian saringan seperti FFN hanya boleh dianggap berkesan jika intervensi berdasarkan keputusan saringan, seperti memberi ubat-ubatan untuk merelaks rahim, mengurangkan bilangan kelahiran pramasa. Penyelidikan lanjut perlu digalakkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syameer Firdaus (Monash University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan penterjemahan ini, sila hubungi syameer.firdaus@outlook.com

Tools
Information
Share/Save