Rawatan helium-oksigen (heliox) untuk kanak-kanak dengan krup

Soalan ulasan

Kami menilai sama ada menyedut heliox adalah selamat dan bermanfaat dalam merawat kanak-kanak dengan krup berbanding rawatan palsu (plasebo) atau terapi lain seperti 30% oksigen lembap, atau 100% oksigen dengan epinefrin (adrenalin, sejenis ubat yang membantu membuka saluran pernafasan).

Latar belakang

Krup adalah penyakit jangka pendek yang mengakibatkan saluran pernafasan atas tersumbat. Krup adalah lazim dalam kalangan kanak-kanak berumur sehingga enam tahun, dan dicetuskan oleh jangkitan viral; ia lebih kerap berlaku pada musim luruh dan sejuk. Simptom termasuk batuk menyalak, serak, suara pernafasan abnormal, dan retraksi dinding dada.

Ubat kortikosteroid merupakan rawatan standard untuk kanak-kanak dengan krup, tetapi limitasi rawatan ini adalah yang masa diperlukan untuk ubat tersebut berkesan, Kanak-kanak dengan krup serius mungkin memerlukan rawatan kecemasan tambahan seperti tiub pernafasan atau pernafasan mekanikal sokongan. Kanak-kanak dengan krup serius mungkin memerlukan oksigen dan sedutan adrenalin sebagai kabus halus (nebulised) Adrenalin adalah selamat secara amnya, tetapi boleh mengakibatkan kesan sampingan seperti denyutan jantung laju dan keresahan, Mengenal pasti satu rawatan selamat, efektif, dan bertindak pantas adalah penting untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.

Gas heliox (kombinasi helium dan oksigen) mungkin memperbaiki aliran udara dan melegakan kesusahan bernafas. Sesetengah kajian telah menunjukkan manfaat heliox untuk kanak-kanak dengan krup.

Ulasan ini mengemaskini versi terbitan 2010 dan 2013.

Tarikh carian

8 Februari 2018.

Ciri-ciri kajian

Kami tidak memasukkan sebarang kajian baru untuk kemaskini ini.

Kami memasukkan tiga kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dibahagikan secara rambang untuk menerima rawatan) yang melibatkan sejumlah 91 kanak-kanak dengan krup berumur dari 6 bulan hingga 4 tahun. Kajian berjalan antara 7 dan 16 bulan; dua dijalankan di AS dan satu di Sepanyol. Di dalam satu kajian, kanak-kanak dengan krup ringan menerima sama ada heliox dengan 30% oksigen; dalam kajian yang satu lagi kanak-kanak dengan krup sederhana menerima dexamethasone oral (sejenis kortikosteroid) dan sama ada heliox atau tiada rawatan; dan dalam kajian ketiga kanak-kanak dengan krup sederhana ke serius menerima suntikan dexamethasone dan sama ada heliox atau 100% oksigen dengan adrenalin.

Keputusan-keputusan utama

Heliox mungkin tidak lebih efektif daripada 30% oksigen untuk kanak-kanak dengan krup ringan; sama efektif dengan 100% oksigen yang diberi dengan satu atau dua dos adrenalin; dan sedikit lebih efektif daripada tiada rawatan untuk kanak-kanak dengan krup sederhana hingga serius. Tiada kajian yang melaporkan kejadian buruk.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah rendah kerana kajian melibatkan bilangan kecil kanak-kanak, dan dalam satu kajian, kanak-kanak, ahli keluarga, dan doktor mengetahui rawatan mana yang diberikan.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save