Rawatan farmakologi untuk masalah kelesuan berkait dengan rawatan paliatif

Dalam penyakit kronik seperti barah, kelesuan dapat digambarkan sebagai keletihan, kelemahan atau kekurangan tenaga. Kelesuan boleh mempengaruhi aktiviti harian dan kualiti hidup, dan sering dilaporkan oleh pesakit perawatan paliatif. Punca-punca kelesuan masih tidak dapat dikenalpasti dengan baik dan masalah kelesuan sukar untuk dirawat.

Kami telah meneliti kajian pada April 2014 dan telah menemui 45 kajian rawak kawal untuk mengemaskini ulasan ini. Kami telah menganalisis data daripada 4696 peserta yang telah mendapat rawatan untuk masalah kelesuan mereka. Kajian melibatkan penyakit neurologi (seperti multiple sclerosis (753 peserta), sindrom post-polio (58) dan penyakit Parkinson (19), pelbagai jenis barah (3223), HIV/AIDS (514), penyakit buah pinggang tahap akhir (56), pelbagai jenis penyakit lanjut pada pesakit hospis (30), sklerosis lateral amiotrofik (ALS) (28) dan penyakit paru-paru kronik tahap akhir (15).

Terdapat bukti yang lemah untuk keberkesanan amantadine, pemoline dan modafinil dalam mengurangi keletihan pesakit-pesakit multipel sklerosis. Terdapat juga bukti yang lemah untuk keberkesanan karnitin dan donepezil untuk kelesuan yang berkait dengan barah. Satu kajian kecil menunjukkan bahawa individu yang mengalami penyakit HIV/AIDS dan kelesuan seolah-olah telah memperoleh manfaat daripada rawatan dengan methylphenidate atau pemoline. Terdapat beberapa bukti berkualiti rendah daripada kajian kecil bahawa methylphenidate, ubat perangsang bagi meningkatkan tumpuan, adalah berkesan untuk mengatasi masalah kelesuan yang berkait dengan barah. Tidak ada maklumat mengenai dexamphetamine, paroxetine atau testosteron.

Kajian terdahulu menunjukkan bahawa eritropoietin dan darbepoetin, ubat-ubatan yang menambah baik kondisi anemia (kekurangan sel merah atau hemoglobin dalam darah), juga berkesan untuk keletihan yang berkait dengan barah. Walau bagaimanapun, atas sebab keselamatan dan kesan sampingan daripada kajian terkini, eritropoietin dan darbepoetin tidak patut digunakan lagi. Oleh itu, kami mengecualikan ubat ini dari kemas kini ulasan ini.

Secara keseluruhan, kebanyakan kesan sampingan ubat-ubatan yang dikaji kelihatannya ringan.

Berdasarkan bukti yang terhad daripada kajian-kajian kecil, bukti tersebut tidak menyokong penggunaan ubat spesifik untuk merawat kelesuan dalam rawatan paliatif. Kajian pada masa hadapan harus mengukur masalah kelesuan pada penyakit kronik dengan menggunakan ukuran yang standard dan boleh dibuat perbandingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ammar Al Hakim Bin Mohd Kamil (Pelajar RCSI & UCD Medical College). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information