Terapi psikologi untuk rawatan gangguan stres pasca trauma (PTSD) bagi kanak-kanak dan remaja.

Gangguan stres pasca trauma (PTSD) tersebar dengan meluas di kalangan kanak-kanak dan remaja yang telah mengalami trauma dan menyebabkan kos yang tinggi kepada peribadi dan kesihatan. Tujuan ulasan ini ialah untuk mengkaji keberkesanan kesemua terapi psikologi untuk rawatan PTSD bagi kanak-kanak dan remaja. 

Kami memeriksa semua kajian-kajian rawak terkawal yang membandingkan terapi psikologi dengan kumpulan kawalan, lain-lain terapi psikologi atau lain-lain terapi sebagai rawatan PTSD untuk kanak-kanak dan remaja berumur 3 hingga 18 tahun. Kami mengenal pasti 14 kajian dengan jumlah peserta seramai 758 orang. Jenis-jenis trauma yang dikaitkan dengan PTSD ialah penderaan seksual, keganasan sivil, bencana alam, keganasan rumah tangga dan kemalangan jalan raya. Kebanyakan peserta merupakan pengguna perkhidmatan sokongan berkaitan trauma.

Terapi psikologi yang digunakan dalam kajian-kajian yang dinilai adalah terapi kognitif tingkah laku (CBT), psikodinamik berasaskan pendedahan, naratif, kaunseling sokongan dan teknik desensitasi dan pemprosesan semula menggunakan pergerakan mata (EMDR). Kebanyakan kajian-kajian yang dinilai membandingkan terapi psikologi dengan kumpulan kawalan. Tiada kajian yang membandingkan terapi psikologi dengan ubat-ubatan atau gabungan ubat-ubatan dengan terapi psikologi.

Terdapat bukti yang agak baik untuk keberkesanan terapi psikologi, terutamanya CBT, untuk rawatan PTSD bagi kanak-kanak dan remaja sehingga kira-kira sebulan selepas mendapat rawatan. Lebih banyak bukti diperlukan untuk memastikan keberkesanan terapi psikologi untuk jangka masa panjang dan juga untuk membandingkan keberkesanan sesuatu terapi psikologi dengan yang lain.

Dapatan ulasan ini terbatas kerana terdapat potensi untuk kajian yang dimasukkan berat sebelah, kemungkinan ada perbezaan antara kajian yang tidak dapat dikenal pasti, bilangan kajian yang dikenal pasti yang rendah serta jumlah peserta yang rendah dalam kebanyakan kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Rafidah Bahari (Cyberjaya University College of Medical Sciences). Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi rafidahbahari@cybermed.edu.my., Disunting oleh Azlan Husin, USM azlanh@usm.my

Tools
Information