Intervensi untuk mencegah dan merawat virus herpes simpleks dalam kalangan pesakit yang menerima rawatan kanser.

Rawatan kanser semakin berkesan, namun ia berkait dengan komplikasi oral misalnya mukositis, jangkitan kulat, jangkitan bakteria dan jangkitan virus seperti virus herpes simpleks (HSV). Komplikasi oral boleh memberi impak kepada kualiti hidup dan mendorong jangkitan sistemik yang mengancam nyawa. Jangkitan dengan HSV boleh menyebabkan sakit dan pelepuhan di sekitar bibir dan di dalam mulut. Lesi orofasial sering berpunca dari HSV jenis 1. Asiklovir dan ubat antiviral lain seperti valasiklovir, famisiklovir dan pensikIovir telah diguna dengan meluas untuk merawat keadaan berkaitan HSV.Jangkitan berulang HSV jenis 1 dalam kalangan pesakit yang terjejas sistem pertahanan akibat rawatan kanser, boleh jadi lebih agresif, sakit dan lambat sembuh.Lesi yang lebih ektensif kerapkali memerlukan lebih masa rawatan dan membuat pesakit lebih cenderung untuk membentuk strain HSV kebal dadah Ulasan 17 kajian menemukan bukti asiklovir adalah mujarab untuk mencegah dan merawat jangkitan HSV, dari segi pencegahan klinikal/kultur positif jangkitan HSV, pengurangan masa penyembuhan, jangkamasa penanggalan virus dan pengurangan sakit. Tiada bukti bahawa valasiklovir lebih mujarab berbanding asiklovir, atau dos valasiklovir lebih tinggi adalah lebih baik dari dos valasiklovir rendah.Terdapat bukti bahawa untuk pencegahan, plasebo lebih mujarab dari prostaglandin E. Namun, dalam semua kajian yang telah dimasukkan, risiko bias adalah tidak jelas. Tiada kajian melaporkan jangkamasa tinggal di hospital, amaun analgesia atau kualiti hidup pesakit.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Sharifah Halimah Jaafar (Regency Specialist Hospital Sdn Bhd, JB). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information
Share/Save