Kortikosteroid untuk mencegah komplikasi pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir selepas pembedahan caesarean bila setelah cukup bulan

Apakah isunya?

Bayi yang lahir cukup bulan (pada atau selepas 37 minggu) melalui pembedahan caesarean yang dirancang (elektif) dan sebelum permulaan pelahiran adalah lebih cenderung untuk mendapat komplikasi pernafasan berbanding bayi lahir melalui faraj. Pemberian suntikan yang dipanggil 'kortikosteroid' kepada ibu telah menunjukkan pengurangan risiko masalah pernafasan dalam kalangan bayi baru lahir yang lahir sebelum 34 minggu, tetapi adalah tidak jelas jika ianya berguna selepas peringkat ini.

Mengapa ini penting?

Risiko komplikasi pernafasan, kebanyakannya sindrom distres pernafasan dan takipnea sementara, menurun daripada 37 minggu kepada 39 minggu tempoh gestasi, di peringkat di mana ianya adalah rendah. Ulasan ini bertujuan untuk menyiasat jika kortikosteroid boleh mengurangkan kadar masalah pernafasan dan keperluan kemasukan ke unit penjagaan khas apabila diberi sebelum pembedahan caesarean yang dirancang (bukan kecemasan) semasa cukup bulan.

Apakah bukti yang kami temui?

Ulasan ini mengenalpasti empat kajian rawak terkawal yang melibatkan 3956 wanita dan 3893 bayi, yang membandingkan kortikosteroid dengan penjagaan biasa atau plasebo. Memberi ibu kortikosteroid antenatal intraotot mungkin mengurangkan peluang bayi memerlukan penjagaan khas untuk masalah pernafasan, dan mungkin mengurangkan peluang bayi dimasukkan ke unit jagaan intensif neonatal. Bilangan wanita yang lebih besar diperlukan bagi mengesahkan perbezaan dalam kadar masalah pernafasan mereka dan kemungkinan sebarang mudarat pemberian kortikosteroid, untuk ibu dan bayi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti daripada kajian rawak terkawal yang dimasukkan adalah rendah. Ini bermakna kami tidak boleh meyakini sepenuhnya bahawa kajian di masa depan akan membuat kesimpulan yang sama mengenai manfaat rawatan untuk bayi bagi ibu-ibu yang menerima kortikosteroid antenatal sebelum pembedahan caesarean.

Apakah maksudnya?

Bukti mencadangkan bahawa kortikosteroid intraotot mungkin ada kesan bermanfaat dalam hasil pernafasan neonat dalam tempoh sejurus selepas lahir. Dengan hanya satu kajian sahaja yang telah melihat kesan jangka panjang, kami tidak boleh pastikan sama ada terdapat risiko-risiko dan apakah magnitudnya. Kajian rawak yang lebih besar harus dilakukan untuk mengesahkan kesan-kesan jangka pendek dan jangka panjang intervensi ini di dalam populasi umum wanita yang menjalani pembedahan caesarean elektif.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information
Share/Save