Teknik-teknik kemasukan laparoskopik

Soalan ulasan

Para penulis ulasan Cochrane menilai manfaat dan risiko pelbagai teknik kemasukan laparoskopik di dalam pembedahan ginekologi dan bukan-ginekologi.

Latar belakang

Laparaskopi adalah prosedur yang menggunakan laparoskop - tiub halus dengan kamera di hujungnya, seperti teleskop - yang dimasukkan di bawah anestesia umum melalui insisi kecil (0.5cm hingga 1cm) ke dalam atau berhampiran pusat. Kamera memaparkan imej kepada skrin-skrin eksternal, yang membolehkan pakar bedah melihat terus organ-organ di pelvis dan abdomen. Ini membolehkan pelaksanaan pembedahan lubang kunci, yang menggunakan alat-alat pembedahan lebih kecil tanpa perlunya insisi yang besar. Apabila laparoskopi dibuat, gas dipam dengan perlahan ke dalam abdomen untuk meluaskan ruang kerja bagi kamera dan alat lain. Kaedah insisi yang dibuat untuk memasukkan laparoskop mungkin mempengaruhi kecederungan komplikasi.

Walaupun laparoskopi biasanya selamat, minoriti kecil pesakit mengalami komplikasi yang mengancam nyawa, termasuklah kecederaan saluran darah atau usus yang berdekatan. Komplikasi sedemikian sering berlaku pada langkah pertama prosedur, apabila dinding abdomen ditusuk dengan alat-alat khas untuk memasukkan gas. Para doktor menggunakan teknik serta alat-alat khas yang berlainan

Ciri-ciri kajian

Para penulis ulasan sistematik memasukkan 57 kajian rawak terkawal dengan sejumlah 9865 individu yang menjalani laparoskopi. RCT tersebut membandingkan 25 teknik kemasukan laparoskopi. Para pesakit yang terlibat adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak yang memerlukan pembedahan laparoskopi untuk pelbagai keadaan ginekologi atau bukan ginekologi. Kebanyakan kajian melibatkan pesakit berisiko rendah dan banyak kajian tidak melibatkan pesakit dengan indeks jisim tubuh (BMI) tinggi dan mereka yang pernah menjalani pembedahan abdomen. Lima puluh tiga daripada 57 kajian tidak menyatakan sumber pembiayaan. Dua kajian menerima pembiayaan daripada industri melalui geran atau penggunaan percuma alat-alat perubatan semasa kajian. Dua kajian menerima pembiayaan kerajaan. Bukti adalah terkini sehingga Januari 2018.

Keputusan-keputusan utama

Tiada bukti cukup untuk menunjukkan sama ada terdapat perbezaan di antara kumpulan-kumpulan dalam kadar kegagalan kemasukan, kecederaan vaskular, kecederaan viseral atau dalam komplikasi major dengan penggunaan teknik kemasukan terbuka berbanding teknik kemasukan tertutup.

Perbandingan teknik-teknik tertutup menunjukkan pengurangan risiko kegagalan kemasukan dengan penggunaan teknik kemasukan trokar langsung berbanding teknik kemasukan jarum Veress (8 RCT; 3185 peserta; bukti berkualiti sederhana). Bukti ini mencadangkan bagi setiap 1000 pesakit yang dibedah, 65 pesakit dalam kumpulan jarum Veress akan mengalami kegagalan kemasukan berbanding antara 11 dan 22 pesakit dalam kumpulan trokar langsung (i.e: di antara 43 dan 54 kurang peristiwa kegagalan kemasukan berlaku per 1000 pesakit yang dibedah secara trokar langsung berbanding jarum Veress). Tiada cukup bukti untuk menunjukkan sama ada terdapat perbezaan antara kumpulan-kumpulan dalam kecederaan vaskular, kecederaan viseral, kecederaan organ pepejal, ataupun komplikasi major lain.

Tiada cukup bukti untuk menunjukkan perbezaan di antara kemasukan nampakan terus dan kemasukan jarum Veress dalam kadar kecederaan vaskular atau kecederaan viseral. Bukti juga tidak cukup untuk menunjukkan sama ada terdapat perbezaan di antara kemasukan nampakan terus dan kemasukan terbuka dalam kadar kecederaan viseral, kecederaan organ pepejal atau kegagalan masuk.

Tiada cukup bukti untuk menunjukkan perbezaan di antara kadar kecederaan vaskular, kecederaan viseral atau kecederaan organ pepejal di antara penggunaan trokar pengembangan radius serta penggunaan trokar bukan pengembangan.

Kajian-kajian lain membandingkan pelbagai teknik kemasukan laparoskopik lain, tetapi semua bukti adalah berkualiti sangat rendah dan tiada bukti cukup untuk menyokong penggunaan sesuatu teknik berbanding yang lain.

Bukti kesuluruhan tidak cukup untuk menyokong penggunaan satu teknik kemasukan laparoskopik berbanding yang lain. Para penyelidik mendapati kemasukan trokar langsung lebih baik berbanding jarum Veress untuk kegagalan kemasukan. Tiada kajian dalam sebarang perbandingan melaporkan kematian.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menilai keselamatan teknik-teknik kemasukan dan untuk mengetahui jika risiko komplikasi major adalah berbeza di antara teknik-teknik.

Kualiti bukti

Kebanyakan bukti adalah berkualiti sangat rendah; pembatasan utama adalah ketidaktepatan (akibat saiz sampel kecil dan kadar peristiwa yang sangat rendah) dan risiko bias yang dikaitkan dengan pelaporan kaedah kajian yang lemah.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi denisechai@ms.pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save