Suntikan ejen anestetik setempat untuk mencegah kesakitan pada peserta yang memerlukan rawatan pergigian

Soalan ulasan

Ulasan ini menilai bukti untuk penyediaan anestesia setempat yang berjaya mencegah kesakitan semasa prosedur pergigian. Kajian yang disertakan membandingkan suntikan anestetik setempat untuk membantu orang yang memerlukan rawatan pergigian serta untuk mengelakkan sensasi kesakitan yang diuiji melalui cara eksperimen (seperti menggunakan sejuk, probe tajam, atau rangsangan elektrik).

Latar belakang

Suntikan anestetik setempat mencegah seseorang daripada perasaan kesakitan. Ia diberikan di satu kawasan tertentu dan bukannya pada seluruh badan. Walaupun kesakitan semasa rawatan pergigian dapat diuruskan dengan berjaya, tetapi ia merupakan ketakutan biasa bagi pesakit.

Terdapat beberapa ubat anestetik setempat untuk doktor gigi, serta pelbagai cara untuk memberikannya, untuk mencegah kesakitan. Faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan termasuk peningkatan kesukaran untuk membius gigi jika adanya keradangan, kerentanan gigi yang berbeza terhadap anestesia setempat, prosedur pembedahan yang berbeza dilakukan pada gigi (sebagai contoh, ia nampaknya lebih mudah untuk mencapai anestesia yang berjaya untuk mencabut gigi berbanding dengan rawatan akar gigi), dan pelbagai teknik serta penyelesaian yang digunakan untuk memberi ubat anestetik setempat.

Kami menyiasat sama ada suntikan satu larutan anestetik setempat lebih berkesan daripada yang lain dalam mencegah kesakitan semasa rawatan pergigian atau semasa kajian eksperimen, dan sama ada kesan ini berkesan untuk sekejap atau bertahan lama, jika terdapat kesan yang tidak ingin berlaku, serta pengalaman orang terhadap prosedur pergigian. Kesan sampingan mungkin termasuklah kesakitan semasa atau selepas suntikan, atau kesan anestesia yang berpanjangan. Kesan sistemik disebabkan larutan anestetik tempatan boleh merangkumi reaksi alergi dan perubahan pada kadar jantung serta tekanan darah.

Ciri-ciri kajian

Dua pengulas mencari literatur untuk mengenal pasti kajian yang membandingkan larutan anestetik tempatan yang berbeza yang disuntik kepada orang yang menjalani rawatan pergigian atau sukarelawan yang mempunyai hasil yang sama yang diukur dengan cara eksperimen. Dalam setiap percubaan, setiap orang dibahagikan secara rawak untuk menerima salah satu anestetik setempat yang sedang dikaji. Carian adalah terkini sehingga 31 Januari 2018.

Kami menjumpai 123 kajian dengan 19,223 peserta lelaki dan wanita. Kajian-kajian ini menyiasat kesakitan yang dialami semasa rawatan pergigian termasuk pembedahan, pengekstrakan, rawatan periodontal (gusi), penyediaan gigi, rawatan akar gigi, anestesia saraf di dalam gigi (pulpa) yang diuji dengan menggunakan penguji pulpa elektrik atau perangsang sejuk, dan anestesia tisu lembut yang diukur berikutan tusukan gusi atau dilaporkan sendiri oleh peserta. Kami mengumpulkan data daripada 68 kajian (6615 peserta). Ini menghasilkan lapan hasil apabila tujuh larutan anestetik setempat yang berbeza diuji semasa rawatan gigi, dua hasil menilai kesakitan semasa dan selepas suntikan anestetik setempat, serta 47 hasil diuji dengan menggunakan penguji pulpa atau dengan tusukan gusi atau dilaporkan sendiri oleh peserta.

Hasil utama

Ulasan menyokong bahawa daripada 14 jenis anestetik setempat yang diuji, bukti untuk menyokong penggunaan satu sama lain terhad kepada hasil kejayaan (ketiadaan kesakitan), dari tiga perbandingan anestetik setempat. Hasil kajian menunjukkan bahawa 4% articaine, 1:100,000 epinefrin adalah lebih bagus daripada 2% lidocaine, 1:100,000 epinefrin pada gigi posterior dengan pulpa yang meradang yang memerlukan rawatan akar gigi. Tidak ada perbezaan antara larutan-larutan ini pada kesakitan suntikan yang dinilai, dan walaupun lidocaine mengakibatkan kesakitan yang lebih sedikit selepas suntikan, tetapi perbezaannya adalah minimum. Para penyelidik mendapati 2% lidocaine, 1:100,000 epinefrin adalah lebih berkesan daripada 3% prilocaine, 0.03IU felypressin dan 4% prilocaine kosong untuk prosedur pembedahan serta prosedur pembedahan/rawatan periodontal. Kecepatan permulaan kesan adalah dalam masa yang dapat diterima secara klinikal, dan jangka masanya berubah, menjadikan mereka sesuai untuk aplikasi yang berbeza. Kedua-dua hasil terakhir ini diuji dengan cara eksperimen yang mungkin tidak menggambarkan penemuan klinikal. Kesan yang tidak diingini jarang berlaku. Pengalaman prosedur pesakit tidak dinilai kerana kekurangan data.

Kualiti bukti

Daripada perbandingan anestetik setempat dalam ulasan ini, semua kelihatan berkesan dan selamat diguna dengan sedikit perbezaan di antara mereka. Bukti yang sedia ada berkualiti dari sederhana hingga sangat rendah. Beberapa kajian gagal, dari segi kualiti, kerana sebilangan kecil peserta, pelaporan kaedah kajian tidak jelas, dan pelaporan data dalam format yang tidak mudah digabungkan dengan data lain. Penyelidikan lanjutan diperlukan untuk menjelaskan keberkesanan dan keselamatan anestetik setempat antara satu sama lain.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information