Peralatan penilaian risiko yang digunakan untuk mencegah ulser tekanan

Apakah matlamat ulasan ini?

Tujuan ulasan ini adalah untuk mengetahui kesan penggunaan peralatan penilaian risiko terhadap kejadian ulser tekanan baru, dalam kalangan orang yang berisiko mendapat ulser tekanan. Banyak peralatan penilaian risiko ulser tekanan yang berbeza digunakan dalam amalan klinikal dan yang terbaik tidak diketahui. Penyelidik dari Cochrane mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan (kajian terkawal secara rawak) untuk menjawab soalan ini dan menjumpai dua kajian yang berkaitan.

Mesej-mesej utama

Pengulas tidak dapat memastikan sama ada penggunaan peralatan penilaian risiko memberi perbezaan kepada jumlah ulser tekanan baru yang terjadi dalam kalangan orang yang berisiko. Kepastian bukti adalah antara rendah kepada sangat rendah.

Apa yang dikaji dalam ulasan ini?

Ulser tekanan (juga dikenali sebagai luka tekanan, kecederaan tekanan dan ulser dekubitus) adalah kawasan kecederaan setempat pada kulit dan tisu yang dibawahnya, biasanya di bahagian yang bertulang seperti pinggul atau tumit. Ulser ini terjadi akibat daripada tekanan, atau tekanan digabungkan dengan daya ricih (himpitan dan regangan tisu lembut di antara struktur bertulang dan kulit). Ulser tekanan berlaku terutamanya pada orang yang mempunyai pergerakan terhad atau kerosakan saraf, seperti orang tua, orang dengan kecederaan tulang belakang, atau pesakit hospital jangka panjang. Penilaian risiko ulser tekanan adalah sebahagian daripada proses yang digunakan untuk mengenal pasti individu yang berisiko untuk mengalami ulser tekanan. Penggunaan peralatan penilaian risiko disyorkan oleh banyak garis panduan antarabangsa terhadap pencegahan ulser tekanan. Peralatan yang berbeza digunakan untuk penilaian risiko tekanan ulser. Pengulas ingin mengetahui yang paling berkesan dalam mencegah tekanan ulser daripada berkembang. Penulis juga ingin mengetahui alat penilaian risiko yang mengurangkan masa ulser tekanan untuk berkembang dan keterukan ulser tekanan.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?

Pengulas menemui dua kajian yang relevan, sejak tahun 2009 dan 2011. Kedua-dua kajian mempunyai tiga lengan. Satu kajian membandingkan penilaian risiko Braden dan latihan, dengan latihan dan penilaian risiko menggunakan penilaian klinikal, atau penilaian risiko yang menggunakan penilaian klinikal sahaja. Kajian kedua membandingkan penilaian risiko Waterlow dengan penilaian risiko Ramstadius, atau penilaian risiko menggunakan penilaian klinikal. Kajian melibatkan 1,487 orang yang berisiko mengalami penyakit ulser tekanan. Dalam kajian pertama, tiada maklumat disediakan berkenaan taburan umur atau jantina. Dalam kajian kedua, 50.3% (619) peserta adalah lelaki, dengan purata usia 62.6 tahun. Kajian pertama tidak menyatakan sebarang sumber pembiayaan. Kajian kedua dibiayai oleh geran penyelidikan dari Majlis Perawatan Queensland, Royal Brisbane dan Dana Amalan Persendirian Hospital Wanita, Royal Brisbane dan Yayasan Penyelidikan Hospital Wanita dan Geran Penyelidikan Kejururawatan Kesihatan Queensland.

Pengulas tidak dapat memastikan sama ada penggunaan peralatan penilaian risiko memberikan sebarang perbezaan kepada pencegahan ulser tekanan, berbanding dengan penggunaan penilaian klinikal. Hasil kajian tidak menunjukkan perbezaan dalam jumlah ulser tekanan yang terjadi dalam kalangan peserta dan satu kajian tidak menunjukkan perbezaan dalam keterukan tekanan ulser yang terjadi. Pengulas menilai kepastian bukti sebagai rendah, atau sangat rendah, kerana tidak semua orang menyiapkan salah satu kajian, dan dalam kedua-dua kajian keputusannya mempunyai jurang perbezaan yang luas, dan staf tahu pesakit berada di kumpulan kajian tertentu. Hasil untuk masa ulser tekanan berkembang, dan kelaziman ulser tekanan, tidak dilaporkan oleh mana-mana kajian ini.

Sejauh mana status penilaian ini terkini?

Pengulas mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Februari 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemakan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save