Adakah antikoagulan oral selamat dan berkesan bagi orang yang dirawat untuk kanser?

Mesej-mesej utama

- Adalah munasabah untuk memberi antikoagulan oral langsung (sejenis ubat antikoagulan darah) kepada orang yang dirawat untuk kanser, terutama jika mereka lebih berisiko pembekuan darah, kerana faedah pengurangan klot darah dilihat melebihi risiko perdarahan major.

- Untuk jenis antikoagulan yang berbeza, antagonis vitamin K (warfarin), risiko perdarahan major mungkin melebihi manfaat pengurangan pembentukan klot darah di kaki dan paru-paru.

- Lebih penyelidikan diperlukan tentang kesan antikoagulan darah dalam kalangan orang dengan pelbagai jenis dan peringkat kanser.

Apakah antikoguln darah

Antikoagulan darah adalah ubat yang membantu mencegah darah daripada membeku. Orang yang berisiko tinggi mendapat klot darah boleh mengambil ubat antikoagulan untuk mengurangkan peluang mereka keadaan serius seperti serangan jantung dan strok.

Mengapakah rawatan antikoagulan darah boleh membantu orang dengan kanser?

Orang dengan kanser yang menjalani rawatan sistemik (sebarang ubat yang masuk melalui badan anda ke dalam aliran darah untuk mencari, merosak atau memusnahkan sel kanser, termasuk kemoterapi, radioterapi, imunoterapi dan terapi sasaran) lebih berisiko pembekuan darah. Walaupun antikoagulan boleh mengurangkan risiko klot darah, ia juga boleh meningkatkan risiko perdarahan serius dan maut. Oleh itu, adalah penting untuk memahami manfaat dan mudarat mengguna antikoagulan darah bagi mereka ini untuk membolehkan mereka dan doktor membuat keputusan termaklum.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika memberi antikoagulan pencegahan oral (melalui mulut) adalah lebih baik berbanding tiada rawatan pencegahan bagi orang yang dirawat untuk kanser. Kami menumpu kepada orang dengan kanser yang tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan kanser mereka.

Kami berminat dengan kesan antikoagulan pada:

- kematian;

- pembentukan klot darah di vena (tromboembolisme vena). Tromboembolisme vena termasuklah trombosis vena dalam (DVT) di mana klot terbentuk di bahagian bawah kaki, peha atau pelvis, dan embolisme pulmonari di mana klot terbentuk di dalam paru-paru;

- perdarahan major dan minor.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai manfaat dan mudarat antikoagulan bagi orang yang dirawat untuk kanser yang tiada tanda, gejala atau keadaan yang memerlukan antikoagulan.

Kami bandingkan dan rumuskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati 10 kajian melibatkan 2934 orang dengan kanser. Kajian paling besar melibatkan 841 pesakit dan kajian paling kecil melibatkan 24 pesakit. Kajian-kajian menggunakan dua jenis antikoagulan:

- antagonis vitamin K, warfarin; atau

- antikoagulan oral langsung [ER1] (khususnya, apixaban dan rivaroxaban).

Keputusan utama

Berbanding tanpa rawatan pencegahan, warfarin, ubat antagonis vitamin K:

- mungkin mengurangkan sedikit kematian pada 6 bulan dan 12 bulan (masing-masing 22 dan 29 lebih sedikit kematian bagi setiap 1000 orang);

- mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas pembentukan klot darah, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya;

- mungkin meningkatkan perdarahan major dan minor pada 12 bulan (lebih 107 perdarahan major dan lebih 167 perdarahan minor setiap 1000 orang).

Berbanding tanpa rawatan pencegahan, ubat antikoagulan oral langsung:

- mungkin mengurangkan sedikit kematian pada 3 hingga 6 bulan (kurang 11 kematian bagi setiap 1000 orang);

- mungkin mengurangkan sedikit klot darah dalam paru-paru dan kaki ( kurang 24 dalam paru-paru dan kurang 19 pada kaki setiap 1000 orang);

- mungkin tidak meningkatkan perdarahan major (lebih 9 perdarahan major bagi setiap 1000 orang);

- boleh meningkatkan pendarahan kecil (55 lebih bagi perdarahan kecil setiap 1000 orang).

Ini mencadangkan bahawa :

dengan antagonis vitamin K, risiko perdarahan major mungkin melebihi manfaat sebarang pengurangan risiko klot darah di kaki dan paru-paru;

dengan antikoagulan oral langsung, manfaat pengurangan risiko klot darah di kaki dan paru-paru melebihi risiko perdarahan major.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami sederhana yakin dengan bukti kematian, perdarahan major dan minor. Di dalam lapan kajian, kaedah-kaedah yang diguna mungkin mempengaruhi keputusan.

Kami tidak yakin dengan bukti klot darah dalam kalangan orang yang diberi ubat antagonis vitamin K kerana bukti adalah hanya dari satu kajian. Kajian tersebut memberi ubat dalam dos tetap berbanding dose bervariasi yang bukan merupakan amalan terkini yang baik.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Jun 2021.

Nota editorial: Ini adalah ulasan sistematik berterusan. Ulasan sistematik berterusan menawarkan pendekatan baharu di mana ia dikemaskini berterusan, memasukkan bukti baharu yang relevan sebaik sahaja diperolehi. Sila rujuk kepada bahagian “Apa yang baharu” Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information