Antihelmintik di kawasan endemik helmint: kesan terhadap jangkitan HIV

Ulasan Cochrane ini merangkumi kajian yang menilai manfaat dan potensi risiko penyediaan ubat-ubat pembasmi cacing (antihelmintik) kepada orang yang dijangkiti virus imunodefisiensi manusia (HIV). Setelah kami mencari kajian yang berkaitan hingga 29 September 2015, kami memasukkan lapan kajian yang melibatkan 1612 peserta.

Apa itu ubat pembasmi cacing dan mengapa mereka dapat melewatkan perkembangan penyakit HIV

Ubat pembasmi cacing digunakan untuk merawat pelbagai jangkitan cacing, seperti helmint yang disebarkan melalui tanah, schistosomiasis, onchocerciasis, dan filariasis limfatik. Di kawasan di mana jangkitan ini biasa berlaku, Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada masa ini mengesyorkan agar penduduk dirawat secara rutin setiap enam hingga 12 bulan tanpa pengesahan mengenai status jangkitan. Penggunaan terapi empirik, atau merawat semua penduduk berisiko dengan andaian, lebih disukai daripada strategi uji-dan-rawat kerana ubat pembasmi cacing tidak mahal dan kurang kesan sampingan. Selain itu, strategi uji sebelum rawatan dianggap kurang efektif memandangkan ujian diagnostik yang ada agak mahal dan mempunyai kepekaan yang lemah.

Jangkitan helmint diketahui mempengaruhi sistem imun manusia. Pada orang dengan HIV, beberapa kajian menunjukkan bahawa jangkitan helmint dapat mengurangkan jumlah sel CD4 + (yang merupakan bahagian kritikal pada tindak balas imun terhadap HIV) dan menjejaskan kemampuan seseorang untuk mengawal replikasi virus HIV. Oleh itu, rawatan jangkitan helmint boleh memberi manfaat penting bagi pesakit HIV melebihi manfaat yang diperhatikan kepada penduduk umum.

Apakah bukti yang dicadangkan dalam ulasan ini

Merawat semua orang dewasa yang positif HIV dengan ubat pembasmi cacing tanpa mengetahui status jangkitan helmint mereka mungkin merendahkan beban virus pada enam minggu (bukti berkualiti rendah), tetapi dos berulang selama dua tahun nampaknya sedikit atau tidak terkesan pada beban virus (bukti berkualiti sederhana) atau jumlah sel CD4 + (bukti berkualiti rendah). Penemuan ini berdasarkan dua kajian yang dimasukkan.

Memberi ubat pembasmi cacing kepada orang dewasa yang positif HIV dengan jangkitan helmint yang didiagnosis boleh merendahkan sedikit purata beban virus pada enam hingga 12 minggu (bukti berkualiti rendah) dan kesan kecil yang baik terhadap jumlah sel CD4 + pada 12 minggu (bukti berkualiti rendah). Walau bagaimanapun, penemuan ini berdasarkan kajian kecil dan sangat dipengaruhi oleh satu kajian praziquantel untuk schistosomiasis. Kajian lanjutan dari pelbagai tetapan dan populasi diperlukan untuk pengesahan.

Kejadian buruk tidak dilaporkan dengan baik (bukti berkualiti sangat rendah), dan kajian terlalu kecil untuk menilai kesan kematian (bukti berkualiti rendah). Walau bagaimanapun, tidak ada cadangan bahawa ubat pembasmi cacing berbahaya bagi individu yang positif HIV.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information