Kanula hidung untuk sokongan pernafasan bagi bayi pramatang

Soalan kajian:Adakah keberkesanan penggunaan kanula hidung aliran tinggi (HFNC) sama dengan kaedah sokongan pernafasan tidak invasif dalam mencegah kecederaan paru-paru kronik dan kematian?

Latarbelakang: Terdapat pelbagai cara di mana sokongan pernafasan tidak invasif boleh diberikan kepada bayi pramatang dengan pernafasan yang tak teratur (apnea) atau penyakit paru-paru.Ini termasuk oksigen tambahan yang disalur ke dalam inkubator, melalui head-box (kotak kepala) atau melalui kanula hidung. 'Continuous positive airway pressure' (CPAP) atau tekanan positif salur udara berterusan boleh diberi melalui 'nasal prongs' atau topeng, dan ventilasi tekanan positif berjeda melalui hidung (NIPPV), di mana sebagai tambahan kepada CPAP, inflasi dengan tekanan yang lebih tinggi diberikan secara berjeda. Kanula hidung aliran tinggi (HFNC) menyampaikan oksigen atau campuran oksigen dan udara melalui tiub kecil dan nipis yang dipasangkan di dalam lubang hidung. HFNC baru-baru ini telah diperkenalkan sebagai satu lagi bentuk sokongan bukan invasif yang berpotensi.

Ciri-ciri kajian: Ulasan ini mendapati 15 kajian rawak yang membandingkan HFNC dengan cara tidak invasif lain untuk menyokong pernafasan bayi. Kajian-kajian ini berbeza dalam intervensi yang dibandingkan, aliran gas yang digunakan dan sebab-sebab untuk sokongan pernafasan.

Keputusan: Apabila HFNC digunakan sebagai sokongan pernafasan barisan pertama selepas kelahiran berbanding CPAP (4 kajian, 439 bayi), didapati tiada perbezaan dalam kadar kematian atau penyakit paru-paru kronik (CLD).Penggunaan HFNC menyebabkan tempoh sokongan pernafasan yang lebih panjang, tetapi tidak ada perbezaan dalam hasil lain. Satu kajian (75 bayi) tidak menunjukkan perbezaan antara HFNC dan NIPPV sebagai alat sokongan pernafasan selepas kelahiran. Apabila HFNC digunakan selepas tempoh pengudaraan mekanikal (jumlah 6 kajian, 934 bayi), didapati tiada perbezaan kadar kematian dan penyakit paru-paru kronik di antara HFNC dan CPAP. Tiada perbezaan kadar kegagalan rawatan dan intubasi semula. Bayi-bayi yang dipilih secara rawak untuk HFNC mempunyai kurang trauma kepada hidung. Terdapat sedikit kekurangan pada kadar pneumotoraks pada bayi yang dirawat dengan HFNC. Kami mendapati tiada perbezaan antara kesan HFNC berbanding dengan CPAP dalam kalangan subkumpulan bayi pramatang pelbagai umur gestasi, walaupun hanya terdapat jumlah kecil bayi amat pramatang dan bayi lewat pramatang. Satu kajian (28 bayi) mendapati kadar intubasi semula yang sama bagi HFNC yang dilembabkan dan tidak dilembapkan, dan dua kajian lain (100 bayi) mendapati tiada perbezaan di antara model yang berbeza bagi peralatan yang diguna untuk HFNC yang dilembapkan. Bagi bayi yang sapih sokongan pernafasan tidak invasif (CPAP), dua kajian (149 bayi) mendapati bahawa bayi pramatang yang dipilih secara rawak untuk HFNC mempunyai tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat berbanding dengan bayi yang menggunakan CPAP.

Kesimpulan: Penggunaan HFNC memberi keberkesanan yang sama dengan lain-lain bentuk sokongan pernafasan tidak invasif pada bayi pramatang untuk mencegah kegagalan rawatan, kematian dan CLD. Kebanyakan bukti didapati tentang penggunaan HFNC sebagai sokongan selepas extubation. Berikutan 'extubation', penggunaan HFNC dikaitkan dengan kurang kecederaan kepada hidung, dan boleh dikaitkan dengan kurang kejadian pneumothorax berbanding dengan nasal CPAP. Kajian rawak terkawal yang lebih sempurna perlu dijalankan keatas bayi pramatang dengan membandingkan HFNC dengan lain-lain bentuk sokongan bukan invasif utama selepas kelahiran dan untuk menghentikan secara beransur-ansur daripada sokongan tidak invasif. Bukti lanjut juga diperlukan untuk menilai keselamatan dan keberkesanan HFNC dalam bayi amat pramatang dan sedikit pramatang dalam kumpulan kecil, dan untuk membandingkan peranti HFNC berbeza.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipa). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my

Tools
Information
Share/Save