Adakah tindakan fizikal seperti mencuci tangan atau memakai topeng menghentikan atau melambatkan penyebaran virus respiratori?

Apakah itu virus respiratori?

Virus respiratori adalah virus yang menjangkiti sel-sel di saluran udara anda: hidung, tekak, dan paru-paru. Jangkitan ini boleh menyebabkan masalah serius dan mempengaruhi pernafasan normal. Ia boleh menyebabkan flu (influenza), sindrom respiratori akut serius (SARS), dan COVID-19.

Bagaimanakah virus respiratori merebak?

Orang yang dijangkiti dengan virus respiratori menyebarkan partikel virus ke udara apabila batuk atau bersin. Orang lain dijangkiti jika mereka bersentuhan dengan partikel virus ini di udara atau permukaan tempat ia jatuh. Virus respiratori boleh merebak dengan cepat melalui komuniti, melalui populasi dan negara (menyebabkan wabak), dan seluruh dunia (menyebabkan pandemik).

Bagaimana kita boleh menghentikan penyebaran virus respiratori?

Langkah-langkah fizikal untuk cuba menghentikan virus respiratori merebak antara orang termasuk:

· kerap mencuci tangan;

· tidak menyentuh mata, hidung, atau mulut anda;

· bersin atau batuk ke siku anda;

· mengelap permukaan dengan disinfektan;

· memakai pelitup, pelindung mata, sarung tangan, dan gaun pelindung;

· mengelakkan hubungan dengan orang lain (pengasingan atau kuarantin);

· menjaga jarak tertentu dari orang lain (penjarakan); dan

· memeriksa orang yang memasuki sesebuah negara untuk tanda-tanda jangkitan (saringan).

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin tahu sama ada langkah-langkah fizikal menghentikan atau memperlahankan penyebaran virus respiratori.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat langkah-langkah fizikal untuk menghentikan orang mendapat jangkitan virus respiratori.

Kami berminat dengan berapa ramai orang dalam kajian mendapat jangkitan virus respiratori, dan sama ada langkah-langkah fizikal itu mempunyai sebarang kesan tidak diingini.

Tarikh carian: Ini adalah kemas kini ulasan yang pertama diterbitkan pada 2007. Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 1 April 2020.

Apa yang kami temui

Kami mendapati 67 kajian yang relevan. Ia berlangsung di negara-negara berpendapatan rendah, sederhana, dan tinggi di seluruh dunia: di hospital, sekolah, rumah, pejabat, pusat jagaan kanak-kanak, dan komuniti semasa tempoh influenza bukan wabak, pandemik global influenza H1N1 pada 2009, dan musim epidemik influenza sehingga 2016. Tiada kajian dijalankan semasa pandemik COVID-19. Kami mengenal pasti enam kajian yang masih berlangsung dan belum diterbitkan; tiga daripadanya menilai pelitup muka dalam COVID-19.

Satu kajian melihat kepada kuarantin, dan tiada untuk pelindung mata, gaun dan sarung tangan, atau saringan orang apabila mereka memasuki sesebuah negara.

We menilai kesan-kesan:

Pelitup muka perubatan atau pembedahan;

· respirator N95/P2 (pelitup padanan rapat yang menapis udara yang disedut, lazim diguna pekerja penjagaan kesihatan berbanding orang awam); dan

· kebersihan tangan (mencuci tangan dan menggunakan sanitaser tangan).

Apakah keputusan ulasan ini?

Pelitup muka perubatan atau pembedahan

Tujuh kajian berlangsung di dalam komuniti, dan dua kajian dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan. Berbanding dengan tidak memakai pelitup, memakai pelitup mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan berapa ramai orang mendapat penyakit seperti flu (9 kajian; 3507 orang); dan mungkin tidak membuat perbezaan dalam berapa ramai orang mendapat flu yang disahkan ujian makmal (6 kajian; 3005 orang). Kesan-kesan tidak diingini jarang dilaporkan, tetapi termasuk ketidakselesaan.

Respirator N95/P2

Empat kajian adalah dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan, dan satu kajian kecil di dalam komuniti. Berbanding dengan memakai pelitup perubatan atau pembedahan, memakai respirator N95/P2 mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam berapa ramai orang disahkan mendapat flu (5 kajian; 8407 orang); dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam berapa ramai orang mendapat penyakit seperti flu (5 kajian; 8407 orang) atau penyakit respiratori (3 kajian; 7799 orang). Kesan-kesan tidak diingini tidak dilaporkan dengan baik; ketidakselesaan dilaporkan.

Kebersihan tangan

Mengikuti program kebersihan tangan mungkin mengurangkan bilangan orang yang mendapat penyakit respiratori atau seperti flu, atau mendapat flu yang disahkan, berbanding orang yang tidak mengikuti program itu (16 kajian; 61,372 orang). Kurang kajian mengukur kesan-kesan tidak diingini; iritasi kulit dalam kalangan orang yang menggunakan sanitiser tangan dilaporkan.

Adakah keputusan ini boleh percaya?

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini secara umumnya rendah untuk hasil-hasil subjektif berkaitan penyakit respiratori, tetapi sederhana untuk jangkitan virus respiratori yang disahkan oleh makmal yang lebih tepat, berkaitan pelitup dan respirator N95/P2. Keputusan-keputusan ini mungkin berubah dengan adanya bukti lebih lanjut. Secara relatif, kurangan bilangan orang yang mengikuti panduan tentang pemakaian pelitup atau kebersihan tangan, yang mungkin mempengaruhi keputusan-keputusan kajian-kajian tersebut.

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada memakai pelitup atau respirator N95/P2 membantu memperlahankan penyebaran virus respiratori.

Program kebersihan tangan mungkin membantu memperlahankan penyebaran virus respiratori.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Zaki Hilmi bin Zainal Abidin (Kememtrian Kesihatn Malaysia). Disunting Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campul). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucdedu.my

Tools
Information