Kaedah perahan susu untuk wanita menyusu

Apakah isunya?

Kepentingan susu ibu disokong dengan baik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang mengesyorkan bahawa semua bayi perlu diberi susu ibu sahaja dari lahir hingga usia enam bulan dan berterusan selepas itu dengan makanan pelengkap yang sesuai. Tidak semua bayi dapat minum daripada payudara dan oleh itu susu yang diperah diperlukan.

Mengapakah ini penting?

Bayi-bayi yang tidak menerima susu ibu adalah lebih cenderung untuk mengalami masalah kesihatan semasa tempoh baru lahir dan di kemudian hari. Ibu-ibu juga mungkin mahu memerah susu untuk keselesaan mereka sendiri atau untuk meningkatkan bekalan.

Apakah bukti yang kami perolehi?

Kami mencari bukti hingga 21 Mac, 2016 dan mengenalpasti 41 kajian untuk dimasukkan yang melibatkan 2293 peserta, dengan 22 kajian yang melibatkan 1339 peserta yang menyumbang data untuk dianalisis. Kajian-kajian berasal dari pelbagai negara dan melibatkan ibu-ibu kepada bayi-bayi di dalam unit neonatal dan bayi-bayi sihat di rumah. Hasil kajian tidak menunjukkan keutamaan yang jelas bagi mana-mana satu jenis pam. Ibu melaporkan kepuasan hati dengan bersantai dan intervensi sokongan. Tiada perbezaan dalam pencemaran susu antara kaedah-kaedah atau kesakitan payudara/puting ibu.

Jumlah susu yang lebih besar telah diperah apabila ibu-ibu mendengar muzik atau mempunyai protokol bersantai, memanaskan payudara mereka, mengurut payudara, mengepam dengan kerap menggunakan perisai payudara yang bersaiz sesuai dan memulakan mengepam susu lebih awal selepas kelahiran jika bayi tidak dapat menyusu daripada payudara. Perahan menggunakan tangan atau pam elektrik yang besar memberi kandungan protein yang lebih tinggi daripada pam manual. Perahan menggunakan tangan memberikan natrium lebih tinggi dan kalium yang lebih rendah berbanding dengan pam-pam. Kandungan lemak/lipid adalah lebih tinggi dengan urutan payudara ketika mengepam. Tiada bukti perbezaan dalam kandungan tenaga didapati antara kaedah-kaedah tersebut. Tiada kajian yang bertanya ibu-ibu jika mereka telah mencapai matlamat mereka sendiri untuk memerah susu. Tiada kajian yang memeriksa kos yang terlibat dengan kaedah-kaedah tersebut. Daripada kajian-kajian yang menilai pam atau produk, 16 daripada 30 kajian mendapat sokongan daripada pengeluar. Tidak semua kajian melaporkan sama ada sokongan asas penting untuk ibu-ibu telah disediakan seperti akses kepada makanan dan cecair, tempat untuk berehat berhampiran bayi mereka, dan adanya pekerja kesihatan berpengetahuan.

Apakah maksudnya?

Bukti-bukti yang tersedia ada menunjukkan bahawa langkah-langkah berkesan termasuk memulakan perahan susu awal selepas kelahiran jika bayi tidak dapat menyusu pada payudara, bersantai, mengurut payudara, memanaskan buah dada menggunakan tangan dan penggunaan pam kos rendah. Pam ini boleh menjadi berkesan, atau lebih berkesan, daripada pam elektrik yang lebih mahal dan besar untuk beberapa hasil. Kaedah yang paling sesuai untuk perahan susu bergantung kepada masa sejak kelahiran, tujuan perahan dan ibu dan bayi individu. Penerbitan mengenai mengepam susu ibu tidak boleh diambil untuk membayangkan bahawa penggunaan pam adalah sebahagian rutin penyusuan, sebaliknya, pengamal perlu berupaya untuk mewajarkan penggunaan pam untuk ibu individu sebelum membuat perakuan di atas penggunaannya.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nila Pillai. (Penang Medical College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Dikemaskini oleh Tan May Loong RCSI & UCD Malaysia Campus (formerly Penang Medical College.

Tools
Information