Metformin untuk wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS) bagi memperbaik kesuburan

Soalan ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan jika metformin memperbaik kadar kelahiran hidup dan kehamilan klinikal dan sama ada ia mengurangkan insiden sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) dalam kalangan wanita dengan PCOS yang menjalani persenyawaan in vitro (IVF) atau suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI).

Latar belakang

Dalam kalangan wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS) terdapat kegagalan kronik atau ketiadaan ovulasi (tiada ovulasi) dan penghasilan hormon lelaki yang berlebihan (hiperandrogenisme). Simptom-simptom utama keadaan ini adalah edaran haid tidak regular, kemandulan, hirsutisme (pertumbuhan rambut berlebihan di muka dan badan) dan akne. PCOS adalah gangguan endokrin paling lazim dalam kalangan wanita, mempengaruhi 5% hingga 10% wanita dalam usia reproduktif. IVF boleh menjadi pilihan rawatan yang berkesan untuk kemandulan dalam kalangan wanita dengan PCOS yang tidak respon terhadap rawatan induksi ovulasi. Di bahagian pertama rawatan IVF, stimulasi ovari menggunakan gonadotrophin perlu untuk membentuk oosit lebih matang agar dapat menghasilkan lebih banyak embrio berkualiti baik untuk dipindahkan ke dalam rahim. Stimulasi berlebihan ini meningkatkan risiko komplikasi serius yang dikenali sebagai sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS). Strategi yang diguna semasa rawatan IVF untuk mengurangkan risiko OHSS termasuk: rangsangan ovari dengan gonadotrophin dos rendah, rawatan bersama metformin, penggunaan protokol antagonis hormon pelepasan gonadotrophin (GnRH) dan bukan agonis GnRH, dan penggunaan pencetus agonis GnRH hingga kematangan akhir oosit berbnding penggunaan pencetus gonadotrophin korionik manusia (hCG) yang biasa.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 13 kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta diletakkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) melibatkan sejumlah 1132 wanita yang menerima sama ada metformin (570) atau plasebo (rawatan palsu)/tiada rawatan (563). Bukti adalah terkini sehingga 13 Februari 2020.

Keputusan utama

Kami bahagikan analisis mengikut jenis protokol stimulasi ovari yang diguna semasa rawatan IVF (agonis GnRH panjang atau antagonis GnRH pendek) untuk menentukan sama ada jenis rangsangan yang diguna mempengaruhi hasil. Kami tidak pasti kesan metformin menggunakan protokol agonis GnRH panjang terhadap kadar kelahiran hidup berbanding rawatan plasebo atau tanpa rawatan, tetapi metformin dapat meningkatkan kadar kehamilan klinikal dengan protokol stimulasi ovari jenis ini. Metformin dapat mengurangkan insiden OHSS. Kami menganggarkan bagi seorang wanita dengan peluang 28% mencapai kelahiran hidup (agonis protokal GnRAH panjang) selepas penggunaan plasebo atau tiada rawatan, peluang selepas penggunaan metformin adalah antara 27% dan 51%. Untuk wanita dengan peluang 28% mencapai kehamilan klinikal menggunakan protokal GnRH-agonis tanpa metformin, peluang dengan penggunaan metformin adalah antara 30% dan 45%.

Untuk protokol pendek antagonis GnRH, metformin dapat mengurangkan kadar kelahiran hidup, dan kami tidak pasti kesannya terhadap kehamilan klinikal dan kadar OHSS berbanding rawatan plasebo/tanpa rawatan.

Secara keseluruhan, metformin boleh mengurangkan insiden OHSS berbanding dengan rawatan plasebo/tanpa rawatan. Untuk wanita dengan 20% risiko OHSS tanpa metformin, risiko sepadan dengan penggunaan metformin adalah antara 6% dan 14%. Kesan sampingan (kebanyakannya gastrousus) mungkin lebih biasa dengan metformin. Kami tidak pasti tentang kesan metformin terhadap keguguran berbanding plasebo atau tanpa rawatan.

Kualiti bukti

Keseluruhan kualiti bukti untuk hasil utama kadar kelahiran hidup dan insiden OHSS adalah rendah. Kami menilai bukti sebagai rendah untuk kadar kehamilan klinikal hasil sekunder (protokol panjang agonis GnRH), kadar keguguran, dan kesan sampingan, dan sangat rendah untuk kadar kehamilan klinikal (protokol pendek antagonis GnRH). Pembatasan utama bukti ialah risiko bias dan ketidaktepatan keputusan .

Kesimpulan

Ulasan kemas kini tentang rawatan metformin berbanding plasebo/tanpa rawatan sebelum atau semasa rawatan IVF/ICSI dalam kalangan wanita dengan PCOS tidak menemui bukti jelas metformin memperbaik kadar kelahiran hidup: kesan metformin adalah tidak pasti menggunakan protokol panjang agonis GnRH, tetapi kadar kelahiran hidup mungkin berkurangan dengan penggunaan protokol pendek antagonis GnRH. Metformin mungkin meningkatkan kadar kehamilan klinikal menggunakan protokol panjang agonis GnRH, tetapi kami tidak pasti kesannya dengan penggunaan protokol pendek antagonis GnRH. Metformin mengurangkan insiden OHSS, tetapi boleh mengakibatkan insiden lebih tinggi kesan sampingan. Kami tidak pasti kesan metformin terhadap kadar keguguran.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information
Share/Save