Adakah perundangan larangan merokok dapat mengurangkan pendedahan kepada asap rokok dan perilaku merokok?

Sejak perundangan pertama diperkenalkan pada tahun 2004 untuk mengharamkan menghisap rokok dalam ruang tertutup di tempat awam dan tempat kerja, jumlah negara, negeri, dan wilayah yang memakai perundangan serupa telah meningkat sejak ulasan ini diterbitkan pertama kali. Perundangan ini adalah untuk melindungi orang yang tidak merokok daripada kesan-kesan kesihatan yang bahaya akibat daripada pendedahan kepada asap rokok. Satu lagi sebab adalah untuk menyediakan persekitaran yang boleh menyokong orang yang ingin berhenti merokok.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari kajian yang menyiasat kesan selepas memperkenalkan larangan merokok terhadap kesihatan atau terhadap perilaku merokok (sehingga Februari 2015). Oleh kerana versi ulasan sebelum ini telah menunjukkan dengan jelas bahawa perundangan untuk mengharamkan rokok di tempat awam dapat mengurangkan pendedahan kepada asap rokok (Secondhand Smoke - SHS), kami tidak memasukkan kajian-kajian yang hanya melaporkan pendedahan kepada SHS. Kami memasukkan 77 kajian dari 21 negara dalam ulasan yang terkini. Kajian terhadap kesihatan biasanya menggunakan data dari hospital untuk mencari perubahan dalam kadar kemasukan dan keluar hospital atau kematian. Kebanyakan kajian melihat kepada penyakit yang berkaitan dengan sistem kardiovaskular (jantung atau saluran darah), seperti serangan jantung dan angin ahmar. Kajian-kajian tersebut juga melihat kesan pada kesihatan pernafasan, termasuklah penyakit kronik paru-paru obstruktif (contohnya bronkitis), asma dan fungsi paru-paru. Tujuh kajian melihat kepada kesihatan kanak-kanak yang baru lahir. Sebelas kajian melaporkan kadar kematian. Kajian terbaik telah mengumpul data daripada pelbagai masa sebelum dan selepas larangan diperkenalkan untuk menyesuaikan trend masa yang sedia ada. Beberapa kajian telah membandingkan kadar peristiwa yang berlaku di kawasan yang mempunyai atau tidak mempunyai larangan, atau di mana larangan telah diperkenalkan pada masa yang berlainan.

Hasil kajian utama

Terdapat bukti bahawa penduduk dan negara mendapat manfaat kesihatan selepas larangan merokok diperkenalkan; terutamanya yang berkaitan dengan jantung dan saluran darah. Kami menemui bukti bahawa kematian telah berkurangan. Kesan larangan rokok terhadap kesihatan pernafasan, kesihatan kanak-kanak yang baru lahir, dan pengurangan jumlah perokok dan pengambilan rokok adalah tidak jelas; dimana beberapa kajian tidak dapat mengesan apa-apa pengurangan.

Kualiti bukti kajian

Kajian-kajian yang dimasukkan tidak dinilai secara rambang terkawal, dan bukti kajian-kajian yang digunakan oleh ulasan ini adalah berkualiti rendah. Perubahan dalam hasil kesihatan mungkin disebabkan oleh perkara-perkara lain, seperti perubahan dalam amalan penjagaan kesihatan. Walau bagaimanapun, banyak kajian telah menggunakan kaedah analisis yang mungkin boleh mengawal trend asas dan meningkatkan keyakinan kami bahawa apa-apa perubahan adalah disebabkan oleh pengenalan larangan merokok.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Raymond Chieng Siang Ching (Melaka Manipal Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi raymondchieng@gmail.com. Disunting oleh Teguh Haryo Sasongko (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information