Penambahan Vitamin A untuk wanita postpartum

Apakah isunya?

Penyusuan susu ibu dijangka dapat memenuhi keperluan bayi pada bulan-bulan terawal hayat. Walau bagaimanapun, jika ibu kekurangan khasiat, bayi mungkin tidak dapat menerima semua nutrien yang diperlukan. Vitamin A adalah penting untuk imuniti dan membantu bayi kekal sihat, oleh itu jika ibu tidak cukup vitamin A dalam diet, bayi mungkin tidak menerimanya dengan cukup melalui susu ibu.

Mengapakah ini penting?

Di kawasan-kawasan di mana kekurangan vitamin A merupakan masalah kesihatan awam, pengambilan vitamin A melalui diet ibu mungkin tidak cukup untuk memenuhi keperluan pemakanan ibu, atau bayi yang menyusu, kerana kepekatan vitamin A yang rendah dalam susu ibu. Banyak kajian telah dijalankan untuk menangani kebimbangan ini di negara-negara di mana kekurangan vitamin A adalah lazim.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mengulas 14 kajian. Secara umum, bukti yang ditemui adalah berkualiti rendah. Kajian-kajian ini melibatkan ibu yang diberi vitamin A atau tidak, dalam tempoh enam minggu pertama selepas bersalin, atau membandingkan dos tinggi vitamin A dengan dos yang rendah. Ulasan kami melihat kepada kesihatan keseluruhan ibu dan bayi mereka, sebarang kesan buruk dan paras retinol, yang merupakan hasil sampingan vitamin A, dalam susu ibu. Tiada perubahan dalam bilangan ibu atau bayi yang meninggal dunia atau tidak sihat. Para ibu dan bayi mereka tidak mengalami sebarang kesan buruk. Terdapat bukti pertambahan jumlah retinol di dalam susu ibu.

Apakah maksudnya?

Secara ringkasnya, walaupun vitamin A tambahan yang diberi kepada ibu meningkatkan sedikit nutrien ini dalam susu ibu, ia mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan kepada jumlah kematian ibu atau bayi. Ia boleh membawa kepada sedikit atau tiada perbezaan dalam kesan-kesan buruk kepada ibu atau bayi.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi mastura.malek78@gmail.com

Tools
Information