Apakah faedah dan risiko penggunaan kortikosteroid dalam kalangan pesakit dewasa yang menjalani pembedahan jantung?

Mesej utama

- Ubat anti-radang seperti kortikosteroid memberikan sedikit atau tiada langsung impak yang ketara dari segi kelangsungan selepas pembedahan jantung, dan mungkin mempunyai kedua-dua manfaat (pada fungsi paru-paru) dan kesan buruk atau kesan kemudaratan penting (dari segi merosakkan jantung).

- Tidak ada bilangan kajian yang berskala besar dan dijalankan dengan baik yang mencukupi untuk menyimpulkan secara yakin kesan kortikosteroid, terutamanya dalam kalangan kumpulan pesakit berisiko tinggi. Kajian yang akan dijalankan pada masa hadapan harus menerokai peranan ubat-ubatan ini dalam golongan rentan.

Apakah yang dikhuatiri apabila pesakit menjalani pembedahan jantung?

Pesakit yang menjalani pembedahan jantung boleh mengalami tindak balas yang ketara terhadap pelbagai jenis tekanan daripada pembedahan. Tindak balas ini - iaitu keradangan - disyaki merupakan penyebab kebanyakan komplikasi yang kerap dialami, dan ia boleh meningkat dengan penggunaan mesin jantung-paru-paru, iaitu sejenis peranti yang mengambil alih secara sementara fungsi jantung serta paru-paru sepanjang pembedahan.

Apakah peranan kortikosteroid dalam pembedahan jantung?

Kortikosteroid merupakan ubat yang terkenal, mempunyai liputan ketersediaan secara meluas serta sering digunakan sebagai rawatan untuk keradangan yang berlebihan. Kajian untuk menilai penggunaan kortikosteroid selepas pembedahan jantung menunjukkan keputusan yang bercampuran, kerana kortikosteroid juga mempunyai kesan sampingan yang penting (jangkitan, perdarahan dan kerosakan jantung) yang boleh mengatasi sebarang manfaat berpotensi (pemulihan yang lebih cepat dan fungsi paru-paru yang lebih baik).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan rawatan kortikosteroid dari segi risiko komplikasi utama (kematian; kecederaan kepada jantung dan paru-paru) berikutan pembedahan jantung.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari pangkalan data utama kesusasteraan perubatan untuk laporan kajian yang secara rawak menugaskan orang dewasa yang menjalani pembedahan jantung untuk menerima sama ada kortikosteroid atau tiada rawatan atau plasebo (pil dummy). Kami kemudian menganalisis keputusan tergabung mereka.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui sejumlah 72 kajian yang melibatkan 17,282 orang menjangkaui waktu lebih kurang 50 tahun. Mereka yang terlibat dalam kajian-kajian ini mempunyai purata umur sekitar 60 tahun. Pembedahan yang paling kerap dilakukan dalam kajian-kajian itu adalah cantuman pintasan arteri koronari, suatu prosedur yang biasa dilakukan untuk memulihkan semula aliran darah ke otot jantung.

Apabila kami mengumpulkan kajian bersama-sama, kami menunjukkan bahawa, berbanding tanpa rawatan atau plasebo, kortikosteroid mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian di hospital, meningkatkan risiko komplikasi jantung, dan mengurangkan risiko komplikasi paru-paru.

Jika rawatan kortikosteroid diberikan kepada 1000 orang yang menjalani pembedahan jantung:

- antara 25 dan 36 orang akan mati sesudah pembedahan, berbanding dengan 33 orang yang tidak diberi ubat ini;

- antara 68 dan 86 orang akan mengalami serangan jantung, berbanding dengan 66 orang yang tidak diberi kortikosteroid; dan

- antara 61 dan 77 orang akan mengalami masalah paru-paru, berbanding dengan 78 orang yang tidak diberi kortikosteroid.

Kami juga menunjukkan bahawa kortikosteroid mengurangkan risiko gangguan rentak jantung (fibrilasi atrium) dan jangkitan, tetapi meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan kedua disebabkan perdarahan.

Apakah batasan bukti?

Kebanyakan kajian mempunyai kelemahan penting yang membuatkan kita mempersoalkan kepastian keputusan terkumpul mereka. Contohnya, mereka mentakrif peristiwa, seperti serangan jantung, dengan takrif yang berbeza ; mereka tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk memastikan pesakit dan penyiasat tidak mengetahui maklumat tertentu yang mungkin mempengaruhi penyertaan mereka dalam kajian; di samping itu beberapa kajian adalah bersaiz kecil.

Kajian tersebut melibatkan pelbagai jenis orang, dan perubahan dalam pembedahan jantung telah berlaku dalam beberapa dekad ini. Selain itu, kajian-kajian ini menggunakan kaedah berbeza untuk memberikan rawatan kortikosteroid. Faktor-faktor ini mungkin menjadikannya lebih sukar untuk difahami jika keputusan daripada kajian ini adalah sama seperti yang akan diperolehi dalam populasi umum.

Di samping itu, keputusan daripada dua kajian terbesar yang kami sertakan boleh mempengaruhi penemuan keseluruhan ulasan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskinikan ulasan kami yang terdahulu yang diterbitkan pada tahun 2011. Bukti ini dikemas kini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@ysm.my).

Tools
Information