Vitamin C untuk mencegah dan merawat radang paru-paru

Rdang paru-paru adalah jangkitan paru-paru yang biasanya disebabkan oleh bakteria dan virus. Diagnosis klinikalnya adakala sukar dibuat. Radang paru-paru adalah lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak awal usia dan mereka yang lanjut usia. Di negara berpendapatan rendah, ianya mengakibatkan dua juta kematian kanak-kanak setiap tahun. Di Amerika Syarikat, ia adalah penyebab kematian yang paling biasa akibat daripada jangkitan.

Vitamin C telah dikenalpasti pada awal 1900-an dan terdapat syor bahawa salah satu peranan biologinya, yang disokong oleh banyak kajian yang dijalankan ke atas haiwan, iaitu ianya dapat melawan jangkitan. Kami mencari kajian yang dijalankan keatas manusia dan mendapati terdapat tiga kajian yang melihat sama ada vitamin C dapat mencegah radang paru-paru dalam masyarakat, dan ianya melibatkan 2335 orang peserta. Dua daripada kajian berbentuk pencegahan ini melibatkan tentera manakala yang ketiga mengkaji pelajar-pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh di UK dalam tahun 1940-an. Dua percubaan berbentuk teraputik yang melibatkan dengan seramai 197 pesakit radang paru-paru menilai sama ada vitamin C bermungkinan bermanfaat untuk pesakit dengan radang paru-paru. Satu daripadanya ialah mengkaji pesakit radang paru-paru di UK yang berumur antara 66 ke 94 tahun. Satu lagi kajian berbentuk teraputik telah dijalankan di negara bekas Kesatuan Soviet, tetapi latar belakang sosial dan pemakanan pesakit tidak diperincikan. Satu kajian yang melibatkan 37 pesakit yang mengalami lecuran, menilai kesan vitamin C ke atas pesakit yang menghidapi radang paru-paru yang berpunca dari jangkitan di hospital. Kajian kami ini merupakan yang terkini sehingga April 2013.

Lima daripada kajian yang dikenalpasti mendapati vitamin C mempunyai manfaat pencegahan atau terapi terhadap radang paru-paru tetapi tiada kesan ditunjukkan dalam kajian yang melibatkan radang paru-paru yang berpunca daripada jangkitan di hospital. Kualiti kajian ini secara keseluruhannya adalah baik. Walau bagaimanapun, lima kajian dengan penemuan-penemuan positif itu telah dijalankan dalam keadaan luar daripada kebiasaan, oleh yang demikian keputusannya tidak boleh dipanjangkan untuk kegunaan populasi umum. Oleh itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan. Dalam pada itu, membekalkan vitamin C kepada pesakit radang paru-paru yang mempunyai tahap vitamin C dalam plasma yang rendah adalah munasabah kerana faktor keselamatannya dan kosnya yang rendah. Tiada satu pun daripada lima kajian tersebut melaporkan kesan-kesan buruk vitamin C yang perlu diberi perhatian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Irfan Mohamad (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi irfankb@usm.my

Tools
Information