Tramadol untuk osteoartritis

Terjemahan ini tidak kemaskini. Sila klik di sini untuk melihat versi Bahasa Inggeris terbaru Ulasan Sistematik ini.

Ringkasan ulasan Cochrane ini membentangkan apa yang kami tahu dari kajian tentang kesan tramadol untuk osteoartritis. Ulasan ini menunjukkan bahawa:

Terdapat bukti tahap emas bahawa untuk merawat osteoartritis, pengambilan tramadol selama tiga bulan mungkin dapat mengurangkan kesakitan, mengurangkan kekakuan, meningkatkan fungsi dan kesejahteraan badan secara keseluruhan. Tramadol mungkin akan menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah-muntah, pening, sembelit, keletihan dan sakit kepala.

Manfaat tramadol adalah kecil dan kesan sampingannya mungkin menyebabkan orang untuk berhenti mengambilnya yang akan mengehadkan penggunaan tramadol untuk merawat osteoartritis.

Apakah osteoartritis dan apakah ubat yang digunakan untuk merawatnya?Osteoartritis (OA) adalah sejenis artritis yang paling kerap dijumpai dalam kalangan pesakit dan boleh menjejaskan tangan, pinggang, bahu dan lutut. Dalam OA, tulang rawan yang melindungi hujung tulang rosak dan menyebabkan kesakitan dan bengkak. Terdapat dua jenis ubat utama untuk rawatan OA. Ubat pelega kesakitan(seperti acetaminophen/paracetamol dan opioid) digunakan untuk melegakan kesakitan tetapi tidak mengurangkan bengkak. Ubat anti-inflamasi bukan steroid(NSAIDS, seperti ibuprofen dan cox IIs) digunakan untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak. Tramadol ialah sejenis opioid yang lebih banyak digunakan untuk OA. Ia tidak menyebabkan pendarahan perut dan usus atau masalah buah pinggang yang mungkin berlaku dengan ubat-ubat pelega kesakitan yang lain. Ia juga tidak menjejaskan tulang rawan di hujung tulang. Tetapi, tramadol tidak mengurangkan bengkak dan mungkin tidak berjalan dengan begitu baik selepas lama dipakai. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui manfaat dan kemudaratan tramadol.

Apakah keputusan dalam ulasan ini?Peserta kajian telah mengambil kira-kira 200mg tramadol sehari atau plasebo(tablet palsu atau serbuk) atau satu NSAID atau satu ubat pelega kesakitan yang lain. Peserta mengambil ubat-ubat tersebut selama satu minggu hingga tiga bulan.

Manfaat tramadol untuk pesakit dengan osteoartritis

tramadol mungkin mengurangkan kesakitan lebih daripada plasebo

- kesakitan mungkin dikurangkan sebanyak 8.5 lebih banyak markah pada skala 0 hingga 100 dengan tramadol

tramadol mungkin dapat meningkatkan kesejahteraan keseluruhan badan lebih daripada plasebo

- 50 daripada 100 orang mungkin akan bertambah baik semasa mengambil plasebo - 69 daripada 100 orang mungkin bertambah baik semasa mengambil tramadol

tramadol mungkin dapat mengurangkan kekakuan dengan sedikit dan meningkatkan fungsi dengan sedikit, lebih daripada plasebo

- fungsi dapat ditingkatkan sebanyak 0.32 lebih markah pada skala dari 0 hingga 10 dengan tramadol

Ia tidak diketahui sama ada tramadol menambah baik simptom-simptom osteoartritis dengan lebih banyak jika dibandingkan dengan ubat-ubat yang lain. Ia juga tidak diketahui sama ada tramadol masih berkesan selepas ia lama dipakai. Hal ini disebabkan bahawa tempoh susulan kajian adalah singkat.

Kemudaratan tramadol dalam kalangan pesakit dengan osteoartritis:

tramadol mungkin akan menyebabkan lebih banyak kesan sampingan yang kecil berbanding dengan plasebo, seperti loya, muntah-muntah, pening, sembelit, keletihan dan sakit kepala

- 18 daripada 100 orang mungkin mengalami kesan sampingan yang kecil semasa mengambil plasebo -39 daripada 100 orang mungkin mengalami kesan sampingan yang kecil semasa mengambil tramadol

tramadol mungkin boleh menyebabkan kesan sampingan utama yang menyebabkan orang berhenti mengambilnya

- 8 daripada 100 orang mengalami kesan sampingan utama semasa mengambil plasebo - 21 daripada 100 orang mengalami kesan sampingan utama semasa mengambil tramadol

Tidak diketahui sama ada tramadol menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding dengan ubat-ubat yang lain untuk osteoartritis.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Julie Yeo (Taylor's University, Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi julieyeohh@gmail.com

Share/Save