Sildenafil untuk hipertensi pulmonari dalam kalangan neonat

Soalan ulasan

Adakah sildenafil selamat dan berkesan dalam kalangan bayi yang baru lahir dengan hipertensi pulmonari?

Latar belakang

Apabila bayi dilahirkan, tekanan dalam saluran darah di paru-paru adalah tinggi, dan apabila bernafas normal diwujudkan, tekanan tersebut mula berkurangan. Pada sesetengah bayi, peralihan ini tidak berlaku dan tekanan masih kekal tinggi; ini tidak membolehkan darah ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen yang secukupnya. Keadaan ini dipanggil hipertensi pulmonari yang berterusan dalam neonat (PPHN). Peristiwa-peristiwa lain boleh menyebabkan tekanan tinggi dalam salur darah paru-paru yang boleh ternampak dalam beberapa hari selepas kelahiran. Tekanan tinggi yang berterusan dalam saluran ini menyebabkan penghantaran kurang oksigen ke seluruh organ tubuh. Ubat yang dipanggil sildenafil boleh menyebabkan salur darah di paru-paru berehat, membolehkan aliran darah yang lebih baik dan meningkatkan penghantaran oksigen ke seluruh organ.

Ciri-ciri kajian

Kami mengenalpasti lima kajian yang menilai kesan sildenafil: tiga kajian yang membandingkan sildenafil dengan plasebo (tiada sildenafil); satu yang berbanding sildenafil dengan ubat lain (magnesium sulfat); dan satu kajian yang menggunakan sildenafil dalam kombinasi dengan ubat lain (nitrik oksida). Kajian-kajian ini melibatkan 166 bayi yang baru lahir dan dijalankan di Colombia, Mexico, Turki dan Qatar.

Keputusan-keputusan utama

Tiga kajian yang membandingkan sildenafil dan plasebo (tiada sildenafil) melaporkan bahawa sildenafil mengurangkan bilangan kematian. Kajian yang membandingkan sildenafil kepada ubat-ubatan yang lain atau yang menggunakan satu lagi rawatan dengan sildenafil mendapati tiada pengurangan yang ketara dalam bilangan kematian. Sildenafil adalah lebih berkesan berbanding dengan plasebo dalam meningkatkan tahap oksigen. Tiada daripada kelima-lima kajian yang terlibat melaporkan kebimbangan keselamatan. Namun, kajian-kajian ini mendaftarkan bilangan kecil bayi, dan kebanyakannya telah dijalankan dalam persekitaran di mana rawatan lain tidak disediakan. Sildenafil amat berguna dalam tetapan apabila pendekatan rawatan lain tiada. Namun, kajian tambahan diperlukan untuk membandingkan sildenafil terhadap rawatan yang sedia ada dalam persekitaran akal untuk menilai keberkesanan dan keselamatan.

Kualiti bukti

Kualiti bukti untuk mengurangkan kematian atau meningkatkan parameter pernafasan adalah rendah disebabkan terdapat bilangan kecil jumlah kajian dan bilangan jumlah yang kecil bayi yang dinilai. Beberapa kajian yang terlibat mempunyai isu-isu metodologi, mengakibatkan kualiti bukti menjadi rendah hingga sangat rendah.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Andey Rahman (Universiti Sains Malaysia). Penyunting kedua Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information
Share/Save