Intervensi perubatan untuk hifema traumatik

Apakah matlamat ulasan ini?
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk mengetahui apakah rawatan yang berkesan untuk hifema traumatik, satu keadaan di mana darah terkumpul di dalam mata berikutan trauma, biasanya tusukan ke mata. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama
Kami mendapati tiada bukti intervensi perubatan mempengaruhi penglihatan, sama ada diukur dalam beberapa minggu atau tempoh yang lebih lama. Kami juga mendapati tidak ada intervensi perubatan yang menghasilkan kurang komplikasi dari hifema itu sendiri, walaupun bukti adalah lemah kerana kurangnya kejadian berlaku. Kami mendapati bukti terhad bahawa anti-fibrinolitik, ubat-ubatan yang mempengaruhi bagaimana darah membeku, mengurangkan risiko pendarahan baru di dalam mata.

Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Adalah penting untuk menilai intervensi ubat terkini bagi hifema traumatik kerana komplikasi daripada keadaan ini boleh mempengaruhi penglihatan akhir. Kami mendapati 27 kajian dengan sejumlah 2643 peserta yang menghuraikan persoalan ini. Kajian-kajian adalah dari AS, Kanada, Sweden, Denmark, China, Afrika Selatan, Malaysia, Iran, dan Israel. Kajian-kajian ini melibatkan lebih ramai lelaki berbanding wanita, dan kebanyakan peserta adalah kanak-kanak atau orang muda. Intervensi termasuklah agen antifibrinolitik yang diambil secara oral atau diaplikasi terus ke mata (asid aminocaproic, asid tranexamic dan asid aminomethylbenzoic), kortikosteroid oral atau topikal, lain-lain jenis ubat titis mata, aspirin, estrogen, perubatan tradisional Cina, ‘patching’, elevasi kepala dan rehat atas katil. Kebanyakan kajian melihat berapa kerap perdarahan baru, kerana perdarahan sekunder ini sering dikaitkan dengan lebih komplikasi. Hasil-hasil lain termasuklah menilai ketajaman penglihatan dan tempoh masa yang diambil untuk darah meresap di dalam mata.

Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Kami mendapati tiada bukti yang menunjukkan sebarang intervensi perubatan mempengaruhi penglihatan akhir, tetapi umumnya kami mengred bukti sebagai kepastian rendah. Agen antifibrinolitik dilihat dapat mengurangkan risiko perdarahan baharu di dalam mata, tetapi peserta-peserta yang mengambil asid aminocaproic oral (agen antifibrinolitik) didapati lebih mengalami loya dan muntah berbanding kumpulan kawalan. Ia adalah tidak jelas sama ada antifibrinolitik mengurangkan komplikasi pendarahan sekunder, kerana ia jarang berlaku di dalam kajian-kajian tersebut. Kami mendapati tiada bukti keberkesanan sebarang intervensi perubatan lain dalam mengurangkan kadar perdarahan baharu atau bilangan komplikasi, tetapi bukti untuk kesan bermanfaat intervensi-intervensi tersebut adalah tidak pasti kerana bilangan peserta dan peristiwa adalah kecil.

Adakah ulasan ini terkini?
Kami mengulas kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 28 Jun 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Erni Zurina Romli (Health Technology Assessment Section, Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi zuromli@yahoo.com.

Tools
Information
Share/Save