Transfusi granulosit, sejenis sel darah putih, untuk menghalang jangkitan dalam pesakit yang mempunyai granulosit yang tidak berfungsi.

Soalan kajian
Kami meneliti bukti untuk menunjukkan samada transfusi granulosit untuk menghalang jangkitan adalah selamat dan boleh menurunkan risiko jangkitan. Pesakit sasaran kami ialah pesakit dengan neutropenia (bilangan neutrofil, sejenis sel darah putih, yang sangat rendah) atau sel darah putih yang tidak berfungsi sepenuhnya (disfungsi neutrofil).

Latar belakang
Sel darah putih yang berfungsi, terutamanya granulosit, penting untuk menghalang jangkitan bakteria berbahaya dan juga kulat. Selama bertahun-tahun, sesetengah doktor hospital telah memberi transfusi granulosit kepada mereka yang tidak mempunyai sel darah putih kerana penyakit yang dialami atau/dan rawatan yang mengurangkan bilangannya atau fungsinya.

Permintaan untuk transfusi granulosit telah menunjukkan peningkatan sejak tahun 1990an kerana kemunculan ubat yang dipanggil granulocyte colony-stimulating factor (G-CSF) yang, jika diberi kepada penderma, akan meningkatkan bilangan granulosit dalam darah penderma dan juga pengumpulan bilangan granulosit dalam dos besar jika dibandingkan dengan sebelumnya.

Ciri-ciri kajian
Bukti ini adalah terkini sehingga April 2015. 12 kajian telah dikenalpasti yang meneliti transfusi granulosit untuk mencegah jangkitan dan dibandingkan dengan tidak memberi granulosit untuk mencegah jangkitan. Satu kajian masih belum selesai. Sebelas kajian yang mempunyai 653 peserta telah diteliti. Kajian-kajian ini telah dibuat antara tahun 1978 hingga tahun 2006. Data dari satu kajian tidak dimasukkan dalam analisis kerana pesakit telah dilibatkan dalam lebih daripada satu kajian. Sepuluh kajian menyertakan peserta dewasa sahaja, dan dua kajian melibatkan kanak-kanak dan dewasa.

Enam kajian melaporkan sumber kewangan mereka, dan kesemuanya disumbangkan oleh badan-badan kebajikan atau kerajaan.

Keputusan-keputusan utama
Pemberian transfusi granulosit untuk menghalang jangkitan tidak mempengaruhi risiko kematian akibat jangkitan, atau risiko kematian daripada sebab-sebab lain.

Pemberian transfusi granulosit untuk menghalang jangkitan telah mengurangkan bilangan pesakit yang ada jangkitan bakteria atau kulat di dalam darah, tetapi tidak mengurangkan bilangan pesakit yang ada jangkitan bakteria atau kulat setempat atau di organ lain.

Ia masih tidak diketahui samada transfusi granulosit meningkatkan risiko untuk mendapat kesan tindak balas buruk yang serius, kerana kesan tindak balas buruk hanya dilaporkan untuk pesakit yang menerima transfusi granulosit.

Kualiti bukti
Bukti untuk kebanyakan penemuan adalah kualiti yang rendah atau sangat rendah. Ini adalah kerana pesakit dan doktor mereka tahu di kumpulan mana pesakit tersebut berada, dan dua daripada kajian bukan kajian rawak (pesakit dimasukkan dalam kumpulan transfusi granulosit jika pesakit ada penderma granulosit yang sesuai).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Fazarina Mohammed (Pusat Perubatan UKM). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (fazarina.m@gmail.com)

Tools
Information