Seberapa baikkah pentoxifylline merawat klaudikasi sekejap-sekejap?

Apakah itu klaudikasi sekejap-sekejap?

Klaudikasi sekejap-sekejap adalah sakit kekejangan di betis anda yang berlaku apabila anda berjalan dan biasanya hilang setelah berehat beberapa minit. Kedua-dua kaki boleh terlibat pada masa yang sama, namun kesakitan mungkin lebih teruk pada satu kaki. Ia berlaku kerana tidak cukup darah mengalir ke otot-otot kaki. Ia adalah gejala penyakit arteri periferi: keadaan lazim yang mana mendapan lemak membina di dinding arteri (saluran darah) dan menyekat aliran darah melaluinya.

Bagaimanakah klaudikasi sekejap-sekejap dirawat?

Klaudikasi sekejap-sekejap biasanya dirawat dengan senaman dan ubat yang mengurangkan peluang pembekuan darah dalam saluran darah yang tersumbat, atau yang mengurangkan gejala-gejala dan membantu orang berjalan lebih jauh. Orang dengan klaudikasi yang serius mungkin perlu menjalani pembedahan.

Mengapakah kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Pentoxifylline adalah ubat yang diambil secara oral (melalui mulut) yang menjadikan darah kurang pekat dan melekit. Ini membantu darah mengalir dengan lebih mudah melalui saluran kecil seperti arteri, dan membenarkan lebih banyak oksigen sampai ke otot-otot. Pentoxifylline dilesenkan untuk merawat klaudikasi sekejap-sekejap, namun lebih banyak bukti mengenai manfaatnya adalah diperlukan sebelum penggunaannya disarankan dalam garis panduan rawatan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada penggunaan pentoxifylline untuk merawat klaudikasi sekejap-sekejap. Kami ingin mengetahui jika pentoxifylline:

– boleh membantu orang berjalan lebih jauh, dengan mengukur berapa jauh mereka boleh berjalan sebelum merasa sakit di kaki mereka;

– mempengaruhi hubungan antara tekanan darah di buku lali berbanding dengan di lengan (indeks tekanan buku lali-lengan (ABI) – ukuran penyakit arteri periferi);

– mempengaruhi kualiti hidup (kesejahteraan) orang; dan

– menyebabkan sebarang kesan sampingan.

Kami mencari kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima orang adalah ditentukan secara rawak. Kajian jenis ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan sesuatu rawatan.

Tarikh carian

Kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 28 Januari 2020.

Apa yang kami temui

Kami menemui 24 kajian dengan 3377 orang dengan klaudikasi sekejap-sekejap, kebanyakannya dijalankan di Eropah dan AS. Tujuh belas kajian membandingkan rawatan pentoxifylline dengan rawatan palsu (plasebo); tujuh kajian membandingkan pentoxifylline dengan ubat lain. Kajian-kajian itu berlangsung dari empat minggu hingga 40 minggu.

Perbezaan dalam bagaimana kajian-kajian itu dijalankan dan bagaimana mereka mengukur keputusan bermakna kami tidak dapat menggabungkan semua keputusan mereka. Kami menilai keputusan dari 17 kajian yang membandingkan pentoxifylline dengan plasebo, tetapi kami tidak dapat membandingkan pentoxifylline dengan ubat-ubat lain.

Apakah keputusan ulasan kami?

Berbanding dengan plasebo, kebanyakan kajian menunjukkan rawatan pentoxifylline mungkin membantu orang berjalan dengan lebih jauh tanpa kesakitan. 11 kajian dengan 1890 orang mengukur berapa jauh mereka boleh berjalan tanpa kesakitan; 14 kajian dengan 2110 orang mengukur berapa jauh mereka boleh berjalan.

Bagi ukuran ABI, tiada perbezaan yang jelas di antara rawatan pentoxifylline dan plasebo (5 kajian, 902 orang).

Tiga kajian dengan 1179 orang menilai kesejahteraan berkaitan dengan kemampuan untuk berjalan. Dua kajian yang besar menunjukkan tiada perbezaan yang jelas di antara rawatan pentoxifylline dan plasebo, dan satu kajian yang lebih kecil menunjukkan pentoxifylline mungkin meningkatkan kesejahteraan orang, namun tidak jelas bagaimana ia diukur.

Kesan-kesan sampingan dilaporkan dalam kajian-kajian itu sangat berbeza: beberapa kajian melaporkan tiada kesan sampingan yang besar dan kebanyakan melaporkan tiada kesan sampingan dengan pentoxifylline atau dengan plasebo (9 kajian; 1837 orang).

Adakah keputusan ini boleh dipercayai?

Kami tidak yakin dengan keputusan untuk sama ada pentoxifylline membantu orang berjalan lebih jauh, atau mengenai kesan-kesan sampingannya, kerana kami menemui batasan dalam cara-cara kajian-kajian tersebut direka dan dilaporkan. Keputusan-keputusan ini berkemungkinan berubah apabila lebih banyak bukti tersedia.

Kami berkeyakinan sederhana bahawa rawatan pentoxifylline adalah serupa dengan plasebo dalam kesannya terhadap perbezaan dalam indeks tekanan buku lali-lengan, dan terhadap kesejahteraan orang. Keputusan-keputusan ini mungkin berubah apabila lebih banyak bukti adalah tersedia.

Mesej utama

Pentoxifylline dapat membantu orang dengan klaudikasi sekejap-sekejap untuk berjalan lebih jauh tanpa kesakitan, tetapi kami tidak pasti mengenai sama ada ia berfungsi lebih baik daripada plasebo atau ubat-ubat lain. Kami tidak menemui bukti boleh dipercayai yang mencukupi mengenai sebarang kesan sampingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information
Share/Save