Penyusuan responsif (tindak-balas) berbanding berjadual untuk bayi pramatang

Soalan rumusan: Adakah polisi pemberian susu kepada bayi pramatang secara tindak-balas berbanding dengan penyusuan secara amaun tetap mengikut jadual berkala dalam meningkatkan pembesaran, tempoh rawatan hospital dan kepuasan ibu bapa?

Latar-belakang: Menyusu bayi pramatang mengikut tindak-balas kepada isyarat kelaparan dan kekenyangan bayi (berdasarkan petunjuk-tindak balas, atau penyusuan berpandu kepada bayi) dan bukannya pada waktu yang dijadualkan mungkin meningkatkan kepuasan bayi dan pengalaman serta kepuasan ibu bapa. Selain dari itu, ia juga membantu kematangan penyusuan oral bayi pramatang secara diri sendiri, meningkatkan pengambilan nutrien dan kadar pembesaran, dan membolehkan pesakit keluar dari hospital lebih awal.

Ciri-ciri kajian: Kami telah mencari bukti kajian yang tersedia sehingga Januari 2016. Kami mendapati sembilan kajian terkawal rawak yang layak (melibatkan sejumlah 593 bayi) bagi mengkaji sama ada menyusu bayi pramatang secara tindak balas terhadap petunjuk penyusuan dan kekenyangan (kadang-kadang dipanggil penyusuan 'permintaan') adalah lebih baik daripada menyusu dengan amaun susu yang tetap pada jangka masa yang ditetapkan. Kajian-kajian ini membandingkan penyusuan secara tindak-balas dengan rejimen selangan berjadual pada bayi pramatang dalam fasa peralihan dari tiub intragastric kepada penyuan melalui oral.

Keputusan: Walaupun kajian secara amnya kecil dan kebanyakan mempunyai beberapa kelemahan metodologi, analisis menunjukkan bahawa penyusuan secara tindak-balas mengakibatkan sedikit kadar perlahan dalam kenaikan berat badan dan mengurangkan masa peralihan dari tiub enteral kepada penyusuan oral untuk bayi dalam kajian. Kualiti bukti adalah rendah, dan kepentingan penemuan ini tidak dapat dipastikan kerana kajian tersebut tidak memberi kesan yang kukuh atau konsisten pada tempoh rawatan dalam hospital. Tiada kajian yang dimasukkan dalam analisis melaporkan sebarang pandangan daripada ibu bapa, penjaga, atau kakitangan.

Rumusan: Kajian semula Cochrane ini tidak memberikan bukti kukuh atau konsisten bahawa memberi penyusuan secara tindak-balas meningkatkan hasil untuk bayi pramatang atau keluarga mereka. Penyusuan secara tindak-balas mungkin membantu bayi dalam peralihan dengan lebih cepat kepada penyusuan oral, tetapi lebih banyak kajian terkawal rawak diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College) Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia) Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.

Tools
Information
Share/Save