Intervensi untuk mencegah dan merawat penyakit buah pinggang dalam vaskulitis IgA (Henoch-Schönlein Purpura)

Apakah isunya?

Vaskulitis IgA (IgAV), sebelum ini dikenali sebagai Henoch-Schönlein Purpura, menyebabkan keradangan saluran darah kecil dalam kanak-kanak dan jarang berlaku dalam dewasa. Simptom dan tanda termasuk ruam kulit bintik-bintil merah dan lebam besar, terutama pada bahagian bawah dan kaki, sakit perut, sakit dan bengkak sendi, dan kadang-kadang pendarahan pada usus. Kira-kira satu per tiga melibatkan buah pinggang dengan darah dan protein dijumpai dalam air kencing semasa ujian. Dalam kebanyakan kanak-kanak, penglibatan buah pinggang adalah ringan (sejumlah kecil darah dan protein dalam air kencing sahaja) dan sembuh sepenuhnya, tetapi beberapa kanak-kanak mempunyai penyakit buah pinggang berterusan yang menjurus kepada kegagalan buah pinggang.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami melihat maklumat daripada 20 kajian rawak terkawal (RCT), yang sertakan 1963 peserta. Sebelas kajian sertakan kanak-kanak dengan IgAV serta atau tanpa penglibatan buah pinggang yang ringan. Lima kajian membandingkan tablet prednison yang diberikan selama 14 hingga 28 hari dengan tablet plasebo atau tanpa rawatan, lima kajian membandingkan ubat yang mengurangkan pembekuan darah, dan satu kajian membandingkan montelukast (ubat yang biasanya digunakan pada kanak-kanak yang menghidap asma) dengan plasebo. Sembilan kajian melibatkan kanak-kanak dengan penglibatan buah pinggang yang sederhana atau teruk. Lima kajian membandingkan ubat berbeza yang menekan sistem imun (siklofosfamid, mofetil misofenolat, takrolimus, siklosporin, leflunomid, azathioprin). Satu kajian membandingkan pertukaran plasma (di mana plasma pesakit dikeluarkan dan digantikan dengan plasma biasa) dan cyclophosphamide dan methylprednisolone dengan cyclophosphamide dan methylprednisolone sahaja. Kajian terakhir membandingkan fosinopril, yang mengurangkan jumlah protein dalam air kencing, tanpa rawatan.

Apa yang kami temui?

Kami ingin melihat sama ada rawatan yang diuji menghalang atau merawat penyakit buah pinggang yang berterusan pada enam hingga 12 bulan selepas permulaan IgAV. Kami mendapati tiada faedah pasti prednison atau rawatan lain dalam mencegah penglibatan buah pinggang yang lebih serius pada kanak-kanak yang tiada atau penglibatan buah pinggang yang ringan di awal kajian. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai prednison pada kanak-kanak yang mengalami IgAV dan penglibatan buah pinggang yang teruk, walaupun ia disyorkan untuk kanak-kanak tersebut dalam garis panduan rawatan. Kepada kanak-kanak yang mengalami penglibatan buah pinggang yang teruk, kami mendapati tiada faedah daripada sebarang ubat yang menyekat sistem imun atau pertukaran plasma dalam merawat penglibatan buah pinggang dalam IgAV. Seperti dalam penyakit buah pinggang lain, kami mendapati bahawa perencat ACE, fosinopril, mengurangkan bilangan kanak-kanak dengan protein dalam air kencing.

Kesimpulan

Terdapat sedikit data daripada RCT yang memeriksa intervensi untuk mencegah atau merawat penyakit buah pinggang pada orang dengan IgAV. Kami tidak menemui bukti bahawa pemberian prednison pada permulaan IgAV mengurangkan risiko penyakit buah pinggang yang serius seterusnya. Kami tidak menemui bukti bahawa sesetengah ejen lebih berkesan daripada yang lain dalam merawat penglibatan buah pinggang apabila ia berlaku. Walau bagaimanapun, bilangan orang yang dikaji adalah terlalu kecil untuk mengecualikan manfaat rawatan, jadi kajian lanjut diperlukan. Tiada kesan sampingan serius dilaporkan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information