Penyusuan menggunakan cawan berbanding bentuk penyusuan enteral tambahan yang lain untuk bayi baru lahir yang tidak dapat menyusu susu ibu sepenuhnya

Soalan semakan:

Bagi kedua-dua bayi yang dilahirkan cukup bulan dan pramatang, kami hendak mengenalpasti kaedah terbaik untuk menawarkan penyusuan tambahan dan melontarkan soalan sama ada penyusuan menggunakan cawan adalah cara penyusuan yang lebih baik untuk penyusuan tambahan berbanding penyusuan dengan menggunakan botol atau tiub, dalam keadaan bayi yang baru lahir tidak dapat menyusu susu ibu dengan sepenuhnya.

Latar belakang:

Kebanyakan bayi yang dilahirkan cukup bulan atau sedikit pramatang boleh menyusu susu ibu dengan sepenuhnya selepas kelahiran. Walau bagaimanapun, atas beberapa sebab tertentu, sesetengah bayi yang cukup bulan dan ramai di antara bayi pramatang yang baru lahir mungkin tidak dapat menyusu susu ibu dengan sepenuhnya dan memerlukan penyusuan tambahan melalui kaedah lain, seperti cawan, picagari, botol atau tiub penyusuan, sehingga mereka dapat menyusu susu ibu dengan sepenuhnya.

Ciri-ciri kajian:

Carian kami yang dijalankan pada 31 Januari 2016 ke atas kajian-kajian yang layak mendedahkan lima kajian, yang kesemuanya membandingkan penyusuan menggunakan cawan dan botol pada bayi yang baru lahir, yang tidak dapat kami masukkan ke dalam semakan ini. Kajian-kajian ini telah dijalankan di unit neonatal dan materniti di hospital-hospital di Australia, United Kingdom, Brazil dan Turki. Min usia kandungan bayi dalam kebanyakan kajian adalah serupa pada masa kemasukan dalam kajian. Dalam empat kajian, intervensi (cawan atau botol) bermula dari masa pendaftaran ke dalam kajian, iaitu apabila bayi pertama kali memerlukan penyusuan tambahan dan berusia seawal 30 minggu kandungan. Dalam kajian yang dijalankan di Turki, penyusuan tambahan tidak bermula pada masa pendaftaran ke dalam kajian mahupun pada masa pertama kali penyusuan tambahan tetapi ditangguhkan sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 35 minggu.

Keputusan utama

Bagi sesetengah hasil kajian, keputusan dari kajian yang berbeza tidak boleh digabungkan. Ini termasuklah tidak menyusu susu ibu pada masa keluar hospital; tidak menyusu ibu secara eksklusif pada tiga bulan dan enam bulan; purata masa yang diambil untuk menyusu; dan bilangan hari berada di hospital. Bagi setiap hasil kajian ini, keputusan daripada beberapa kajian menyebelahi penyusuan dengan cawan, manakala hasil daripada kajian-kajian lain menyebelahi penyusuan botol.

Bagi sesetengah hasil kajian, keputusan kajian yang berbeza boleh digabungkan: tidak ada perbezaan dalam pertambahan berat badan atau usia kandungan pada masa keluar hospital di antara bayi-bayi yang menerima penyusuan tambahan melalui cawan berbanding botol. Walau bagaimanapun, bayi-bayi yang menerima penyusuan tambahan dengan cawan adalah lebih cenderung kepada penyusuan ibu secara eksklusif pada masa keluar hospital dan lebih cenderung untuk menerima beberapa kali penyusuan susu ibu pada usia tiga dan enam bulan.

Oleh sebab kajian-kajian kebanyakannya melibatkan bayi pramatang dan hanya beberapa bayi yang cukup bulan, tiada cadangan boleh dibuat untuk penyusuan menggunakan cawan bagi bayi yang cukup bulan.

Kualiti bukti:

Kualiti bukti untuk penambahan berat badan, tempoh hospitalisasi, tidak diberi penyusuan ibu sewaktu keluar dari hospital dan pada usia enam bulan serta penyusuan ibu secara ekslusif sewaktu keluar hospital dan pada usia enam bulan digredkan sebagai tahap sangat rendah ke rendah. Dalam kajian-kajian yang dimasukkan ke dalam semakan ini, dilaporkan bahawa ramai bayi yang sepatutnya menerima penyusuan tambahan dengan cawan, telah menerima penyusuan tambahan melalui kaedah-kaedah lain kerana sesetengah ibu bapa atau jururawat tidak suka penyusuan dengan cawan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my. Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information
Share/Save