Perencat alfa-glukosidase untuk pencegahan atau penangguhan diabetis jenis 2 dan komplikasi yang berkaitan dalam kalangan orang yang berisiko untuk mendapat diabetes melitus jenis 2

Soalan ulasan

Bolehkah perencat alfa-glukosidase mencegah atau menangguh diabetis melitus jenis 2 dan komplikasi yang berkaitan dengannya dalam kalangan orang yang berisiko untuk mendapat diabetes melitus jenis 2?

Latar belakang

Orang dengan paras glukos sederhana tinggi dikatakan lebih berisiko untuk mendapat diabetes jenis 2. Oleh itu, orang-orang ini sering disyorkan untuk meningkatkan senaman dan pengambilan kalori lebih rendah untuk mencegah diabetes jenis 2. Perencat alfa-glukosidase (acarbose, miglitol, voglibose), digunakan untuk menurunkan glukosa darah dalam kalangan orang dengan diabetes melitus jenis 2. Masih tidak diketahui sama ada perencat alfa-glukosidase perlu diberi kepada orang yang mempunyai paras glukosa darah sederhana. Kami ingin mengetahui sama ada perencat alfa-glukosidase dapat mencegah atau menangguhkan diabetes melitus jenis 2 dalam kalangan orang dengan peningkatan sederhana paras glukosa. Kami mencari kesusasteraan perubatan untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang diagihkan secara rawak ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan), sekurang-kurangnya tempoh satu tahun, menyiasat perencat alfa-glukosidase dalam kalangan peserta dengan paras glukosa yang lebih tinggi dari normal, tetapi di bawah kriteria diagnostik untuk diabetes melitus jenis 2.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati 10 kajian rawak terkawal yang mewakili 11,814 peserta, lapan menyiasat acarbose dan dua menyiasat voglibose. Tempoh kajian adalah di antara satu hingga enam tahun.

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2017.

Keputusan-keputusan utama

Apabila membandingkan acarbose dengan plasebo (satu bahan yang tiada kesan terapeutik), 670 daripada 4014 peserta (17%) yang menerima acarbose mendapat diabetes jenis 2, berbanding 812 daripada 3994 peserta (20%) yang menerima plasebo. Kebanyakan data untuk perbandingan ini didapati daripada kajian yang memasukkan orang dengan penyakit jantung. Apabila membandingkan acarbose dengan tiada intervensi, tujuh daripada 75 peserta (9%) yang menerima acarbose mendapat diabetes jenis 2, berbanding 18 daripada 65 peserta (28%) yang tidak menerima intervensi. Rawatan acarbose tidak mengurangkan atau meningkatkan risiko kematian dari sebarang sebab, kematian akibat penyakit jantung, kesan sampingan yang serius, strok atau kegagalan jantung. Berbanding dengan plasebo, acarbose mengurangkan risiko serangan jantung (satu dari 742 peserta (0.1%) yang menerima acarbose mendapat serangan jantung berbanding 15 daripada 744 peserta (2%) yang menerima plasebo). Rawatan acarbose menunjukkan peningkatan risiko kesan-kesan sampingan yang tidak serius (terutamanya kejadian gastro-usus), berbanding plasebo: 751 daripada 775 orang (97%) yang menerima acarbose mempunyai kesan sampingan yang tidak serius, berbanding 723 orang dari 775 orang (93%) yang menerima plasebo.

Satu kajian membandingkan voglibose dengan plasebo dan satu kajian lagi membandingkan voglibose dengan diet dan senaman. Apabila membandingkan voglibose dengan plasebo, 50 daripada 897 peserta (5.6%) yang menerima voglibose mendapat diabetes jenis 2, berbanding 106 daripada 881 peserta (12%) yang menerima plasebo.

Satu kajian dengan 90 peserta membandingkan acarbose dengan diet dan senaman dan satu lagi kajian dengan 98 peserta membandingkan acarbose dengan metformin. Tiada perbezaan penting untuk sebarang hasil daripada perbandingan-perbandingan tersebut.

Tiada kajian yang melaporkan amputasi anggota bawah, buta atau kehilangan penglihatan yang teruk, penyakit buah pinggang, kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan, masa untuk progres kepada diabetes melitus jenis 2, atau kesan sosioekonomi (seperti tidak hadir bekerja atau kos).

Kualiti bukti

Untuk kebanyakan hasil, kami tidak pasti ataupun sangat tidak pasti kesahihan keputusan perbandingan-perbandingan. Sebab-sebab ketidakpastian ini adalah kesilapan sistematik dalam beberapa kajian yang disertakan, bilangan kajian yang rendah secara keseluruhan untuk hasil tertentu, keputusan tidak tepat dan data yang hilang daripada satu kajian.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi peiyee95@hotmail.com.

Tools
Information
Share/Save