Analgesia epidural berbanding dengan ubat-ubatan berasaskan opioid sistemik untuk orang yang menjalani pembedahan terbuka aorta abdomen

Latar belakang

Pembedahan terbuka pada aorta abdomen (saluran darah utama kepada kaki) memerlukan pengurusan kesakitan postoperasi yang agresif. Pengurusan kesakitan yang biasa digunakan ialah analgesia epidural. Analgesia ini melibatkan suntikan ubat pencegah sakit melalui sebuah kateter (tiub sempit) yang ditempatkan pada ruang epidural (bahagian paling luar dalam ruang tulang belakang). Alternatif ialah opioid sistemik (suntikan ubat-ubatan berupa morfin ke dalam saluran darah).

Objektif

Ulasan ini menilai kesan penggunaan kedua-dua kelegaan sakit ini dan risiko komplikasi postoperatif dan kematian selepas pembedahan terbuka aorta abdomen. Ulasan ini pertama diterbitkan pada tahun 2006, dikemaskini pada tahun 2012 and 2015.

Kaedah-kaedah

Kami mencari percubaan klinikal dalam pangkalan data saintifik, yang membandingkan analgesia epidural dengan opioid sistemik dalam kalangan orang dewasa. Dua pengarang menilai kualiti kajian dan mengumpulkan data secara berasingan. Kami menjalankan carian semula pada Mac 2017. Kami akan menilai kajian baru yang menarik perhatian kami semasa kami mengemaskinikan ulasan ini.

Keputusan utama

Kami mendapati 15 kajian yang diterbitkan dari 1987 hingga 2009 dan melibatkan 1498 peserta dalam ulasan terkini ini. Bukti adalah terkini sehingga November 2014. Kajian-kajian tersebut menerima tajaan sokongan daripada sebuah organisasi amal (satu kajian), pihak kerajaan (empat kajian), atau industri farmaseutikal (satu kajian). Sumber tajaan tidak dapat ditentukan dalam sembilan kajian. Kami mendapati analgesia epidural dapat mengurangkan sakit jantung, tempoh intubasi trakea postoperasi (sebuah tiub pernafasan fleksibel yang ditempatkan ke dalam saluran udara), risiko kegagalan pernafasan postoperasi (keperluan mesin untuk membantu pernafasan selepas pembedahan), pendarahan gastrousus, pengurangan kesakitan postoperasi, dan tempoh tinggal dalam unit penjagaan intensif (bersamaan enam jam). Untuk kematian selepas pembedahan, kami tidak mendapati perbezaan dalam kadar kematian (dalam hospital atau sehingga 30 hari). Kualiti bukti adalah rendah untuk mortaliti dang tempoh sebelum extubasi trakea; bermaksud kajian lanjutan mempunyai kebarangkalian tinggi dalam membawakan impak penting pada keyakinan anggaran kesan kami dan mungkin mengubah anggaran tersebut. Kualiti bukti adalah sederhana untuk sakit jantung, kegagalan pernafasan, tempoh tinggal dalam unit penjagaan intensif; bermaksud kajian lanjutan mempunyai kebarangkalian sederhana dalam membawakan impak penting pada keyakinan anggaran kesan kami dan mungkin mengubah anggaran tersebut. Kualiti bukti adalah tinggi untuk pendarahan gastrousus dan skor kesakitan; bermaksud kajian lanjutan mempunyai kebarangakalian rendah dalam mengubahkan keyakinan anggaran kesan kami.

Rumusan Pengarang

Analgesia epidural dapat membawakan pengurusan kesakitan yang lebih baik berbanding dengan opioid sistemik. Analgesia ini dapat mengurangkan jumlah orang yang mengalami kerosakan jantung, tempoh kembali kepada pernafasan tanpa bantuan, pendarahan gastrousus, dan tempoh tinggal dalam unit penjagaan intensif. Kami tidak mendapati perbezaan dalam kadar kematian pada hari ke-30.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information