Intervensi untuk morfea

Soalan ulasan

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan rawatan, sama ada diberikan secara berasingan atau kombinasi, untuk orang dengan morfea (morphea), jika dibandingkan dengan bahan tidak aktif (plasebo), tidak ada intervensi, rawatan lain, atau dos atau tempoh rawatan yang berbeza. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan dan menjumpai kajian sehingga Julai 2018.

Latar belakang

Morfea adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi menyebabkan kulit mengeras. Ia boleh dihidapi orang dewasa dan kanak-kanak , dan lebih kerap berlaku pada wanita. Terdapat beberapa jenis morfea yang berlainan, dengan ciri-ciri yang berbeza: morfea yang dibatasi umumnya kurang teruk daripada jenis yang lain; skleroderma linier boleh menyebabkan perbezaan pada badan yang ketara, yang mungkin mempengaruhi pertumbuhan pada kanak-kanak; morfea umum adalah jenis yang teruk yang melibatkan pelbagai bahagian badan; morfea pansclerotik adalah jenis morfea umum yang teruk dan progresif; dan morfea campuran adalah kehadiran dua atau lebih jenis penyakit. Kadar penyakit ini berulang adalah tinggi, dan walaupun aktiviti penyakit berkurang, penyakit ini akan meninggalkan kesan kekal pada seseorang. Ulasan ini bertujuan untuk menilai keselamatan dan keberkesanan rawatan yang berbeza untuk morfea.

Ciri-ciri kajian

Kami menjumpai 14 kajian yang berkaitan, dengan jumlah 429 peserta, termasuk kanak-kanak dan orang dewasa berusia antara tiga hingga 76 tahun. Lebih separuh daripada peserta adalah wanita. Kebanyakkan peserta mengalami morfea, diikuti oleh skleroderma linier. Enam kajian tidak menggambarkan keadaan mereka, tetapi selebihnya dibuat di hospital universiti, pusat perubatan, atau pusat makmal nasional. Tujuh kajian menerima dana dari universiti, biasiswa kerajaan atau persatuan, atau industri farmaseutikal. Enam kajian tidak mempunyai dana, dan satu kajian tidak melaporkan maklumat ini.

Tujuh kajian membandingkan ubat topikal: fototerapi; imunosupresif (menindas aktiviti sistem imun); ubat anti-alergi; dan kortikosteroid (anti-radang). Dua kajian membandingkan ubat-ubatan dalam lesi itu sendiri: kolagen, dan imunomodulator (mengubah tindak balas imun). Lima kajian membandingkan ubat sistemik (yang bermaksud ia mempengaruhi seluruh badan): imunosupresif; terapi perubatan tradisional Cina; dan analog vitamin D (sejenis vitamin D). Rawatan ini dibandingkan dengan tiada rawatan; plasebo; dos fototerapi yang berbeza; hidroksiklorokuin (pengatur sistem imun); petrolatum emolien (rawatan pelembap); kortikosteroid; agen antikoagulan (pencair darah) yang diambil bersama tablet ekstrak tumbuhan ubat dan vitamin E; atau antibiotik dengan krim asas. Kajian ini berlangsung antara tujuh minggu dan 15 bulan.

Keputusan utama

Hasil yang kami kemukakan dalam ringkasan ini berdasarkan bukti berkualiti rendah.

Kanak-kanak dan remaja dengan morfea aktif (skleroderma linier, morfea umum dan morfea campuran: linier dan terbatas) mungkin mengalami peningkatan aktiviti penyakit atau kerosakan dengan metotreksat oral plus prednisone berbanding dengan plasebo ditambah prednisone. Kami menjangkakan bahawa daripada 100 kanak-kanak dan remaja, 67 akan mengalami peningkatan dengan methotrexate, berbanding dengan 29 yang diberi plasebo; ini berdasarkan hasil yang diukur sama ada 12 bulan selepas permulaan rawatan atau sehingga penyakit merebak. Di samping itu, mungkin terdapat sedikit atau tidak ada perbezaan dalam jumlah peserta yang mengalami sekurang-kurangnya satu kesan sampingan semasa rawatan (seperti keguguran rambut, sakit kepala, sakit, letih, atau kerosakan hati) antara mereka yang diberi methotrexate dan mereka yang diberi plasebo. Kesan sampingan dari prednisone (diberikan dalam kedua-dua kumpulan) termasuk kenaikan berat badan dan tanda regangan. Kami menjangkakan bahawa daripada 100 kanak-kanak dan remaja, 56 akan mengalami sekurang-kurangnya satu kesan sampingan dengan methotrexate, berbanding dengan 46 plasebo yang diberikan.

Kanak-kanak dan orang dewasa dengan morfea aktif (morfea terbatas, skleroderma linier, morfea umum, atau morfea campuran) boleh menyebabkan penurunan aktiviti penyakit atau kerosakan yang serupa dengan dos sederhana (50 J / cm²) UVA-1, dos rendah (20 J / cm²) UVA-1, atau fototerapi UVB jalur sempit. Mereka yang dirawat dengan fototerapi dos sederhana (50 J / cm²) UVA-1 atau dos rendah (20 J / cm²) UVA-1 mungkin mengalami penyamakan ringan selepas rawatan berbanding dengan yang diberi rawatan fototerapi UVB jalur sempit. Walau bagaimanapun, mungkin tidak ada perbezaan dalam jumlah peserta yang melaporkan penyamakan ringan ketika membandingkan fototerapi dos sederhana dan rendah UVA-1. Kemerahan sementara dilaporkan pada tiga peserta yang diberi UVB jalur sempit dan tidak ada peserta dalam kumpulan UVA-1 dos rendah atau sederhana.

Kualiti bukti

Kami menganggap kualiti bukti rendah kerana kebanyakan kajian merangkumi beberapa peserta dan ada kebimbangan mengenai reka bentuk beberapa kajian, seperti tidak ada penyembunyian rawatan dan analisis yang tidak lengkap.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information