Intervensi untuk mencegah penyakit tulang dalam kalangan penerima transplan buah pinggang

Apakah isunya?
Pesakit yang menjalani pemindahan buah pinggang berkemungkinan mempunyai tulang yang lebih rapuh kerana perubahan pada cara pembentukan tulang dalam penyakit buah pinggang dan kerana ubat-ubatan anti-penolakan, termasuk prednison, boleh menjadikan tulang mereka lebih nipis. Patah tulang boleh menyebabkan kesukaran berjalan dan menjalani aktiviti kehidupan seharian seperti bekerja dan kehidupan berkeluarga. Terdapat beberapa pilihan rawatan untuk mencegah patah tulang bagi mereka mempunyai tulang yang lebih nipis. Walau bagaimanapun, sama ada rawatan ini berguna untuk pesakit transplan buah pinggang adalah tidak jelas. Versi awal ulasan Cochrane ini pada tahun 2004 (dan dikemas kini pada tahun 2007) tidak menjumpai mana-mana rawatan bagi mencegah keretakan.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian baru yang ada sejak ulasan terakhir kami yang diterbitkan pada tahun 2007 untuk mengetahui sama ada terdapat maklumat baru mengenai rawatan penyakit tulang dalam kalangan mereka yang menjalani transplan buah pinggang.

Apa yang kami dapati?
Pada tahun 2019, terdapat 65 kajian penyelidikan (yang melibatkan 3598 pesakit) yang mengkaji sama ada ubat-ubatan dapat mencegah keretakan tulang selepas transplan buah pinggang. Ubat yang paling biasa dalam kajian-kajian tersebut adalah bifosfonat yang melambatkan pemecahan tulang. Bisfosfonat diberikan sekitar waktu pemindahan buah pinggang (umumnya hanya sebelum atau dalam beberapa minggu) dan berterusan selama kira-kira satu tahun secara purata. Pilihan rawatan lain dalam kajian-kajian tersebut adalah vitamin D, calcitonin, denosumab, teriparatide, atau cinacalcet. Rawatan bifosfonat yang diberikan selepas transplantasi mungkin mencegah patah tulang dan sakit tulang. Namun begitu, julat di mana kemungkinan kesan sebenar rawatan ("margin kesilapan") menunjukkan bahawa rawatan tersebut mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan. Bisfosfonat mungkin menurunkan kemungkinan penolakan transplan buah pinggang tetapi oleh kerana masalah dengan kajian, kami tidak dapat memastikan sama ada ini benar. Bifosfonat menurunkan paras kalsium darah bagi sesetengah orang. Terdapat keyakinan yang rendah atau sangat rendah terhadap maklumat rawatan untuk patah tulang selepas transplan buah pinggang, kerana kajian yang dijalankan adalah terlalu kecil. Hanya ada satu kajian ubat-ubatan untuk kanak-kanak, maka kami tidak tahu sama ada ubat-ubatan ini berguna dan selamat untuk pesakit dewasa yang muda.

Kesimpulan
Ia masih tidak jelas sama ada terapi bifosfonat memberi manfaat dalam mengurangi tulang patah atau selamat untuk orang dewasa dan kanak-kanak dengan transplan buah pinggang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information