Cetusan pelahiran dalam kalangan wanita yang hamil normal pada atau selepas 37 minggu

Adakah polisi cetusan pelahiran pada atau selepas 37 minggu gestasi mengurangkan risiko bayi dan ibu berbanding polisi menunggu tempoh gestasi lanjut, atau sehingga ada indikasi untuk cetusan pelahiran?

Ulasan asal diterbitkan pada 2006 dan dikemaskini pada 2012 dan 2018.

Apakah isunya?

Purata tempoh hamil adalah 40 minggu dari permulaan haid terakhir wanita. Kehamilan yang berterusan melebihi 42 minggu dijelaskan sebagai lepas tempoh atau tarikh tertunda dan wanita dan doktornya boleh memutuskan untuk bersalin dengan induksi. Faktor-faktor yang dikaitkan dengan kelahiran lepas tempoh termasuk obesiti, bayi pertama dan ibu berusia lebih 30 tahun.

Mengapakan ini penting?

Gestasi yang lama boleh meningkatkan risiko bayi, termasuk risiko kematian lebih besar (sebelum atau sejurus selepas lahir). Walau bagaimanapun, mencetus pelahiran juga mungkin berisiko bagi ibu dan bayinya, terutama jika serviks wanita tidak bersedia untuk pelahiran. Ujian semasa tidak dapat meramal risiko untuk bayi atau ibu, dan kebanyakan hospital mempunyai polisi untuk berapa lama kehamilan dibenarkan.

Apakah bukti yang kami temui?

Kami mencari bukti (17 Julai 2019) dan mengenal pasti 34 kajian rawak terkawal yang berpusat di 16 negara berbeza dan melibatkan > 21,500 wanita (kebanyakannya berisiko komplikasi rendah). Kajian-kajian membandingkan polisi mencetus pelahiran biasanya selepas 41 minggu gestasi (> 287 hari) dengan polisi menunggu (pengurusan hamil).

Polisi cetusan pelahiran dikaitkan dengan kurang kematian perinatal (22 kajian, 18,795 bayi). Empat kematian perinatal berlaku di dalam kumpulan polisi cetusan pelahiran berbanding 25 kematian perinatal dalam kumpulan pengurusan hamil. Kurang kelahiran mati berlaku dalam kumpulan cetusan (22 kajian, 18,795 bayi), dengan dua di kumpulan polisi cetusan dan 16 dalam kumpulan pengurusan hamil.

Wanita dalam kumpulan kajian cetusan mungkin kurang cenderung untuk pembedahan caesarean berbanding dengan pengurusan hamil (31 kajian, 21,030 wanita) dan mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran faraj terbantu (22 kajian, 18,584 wanita).

Kurang bayi dimasukkan ke unit rawatan intensif neonatal (NICU) dalam kumpulan polisi cetusan pelahiran (17 kajian, 17,826 bayi; bukti kepastian tinggi). Ujian mudah kesihatan bayi (skor Apgar) pada lima minit mungkin lebih baik di dalam kumpulan cetusan berbanding kumpulan pengurusan kehamilan (20 kajian, 18,345 bayi).

Polisi cerusan boleh membuat sedikit atau tiada perbezaan bagi wanita yang mengalami trauma perineum dan mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan bilangan wanita yang mengalami perdarahan postpartum, atau menyusui ketika keluar hospital. Kami tidak pasti tentang kesan cetusan atau pengurusan hamil terhadap tempoh inap di hospital kerana kepastian bukti sangat rendah.

Bagi bayi baru lahir, bilangan yang mengalami trauma atau ensefalopati adalah sama dalam kumpulan cetusan dan pengurusan hamil (masing-masing bukti kepastian sederhana dan rendah). ‘Neurodevelopment’ pada masa susulan kanak-kanak dan kemurungan postnatal tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian. Hanya tiga kajian melaporkan beberapa ukuran kepuasan maternal.

Apakah maksudnya?

Polisi cetusan pelahiran berbanding pengurusan hamil dikaitkan dengan kurang kematian bayi dan kurang pembedahan caesarean; dengan sedikit atau tiada perbezaan dalam kelahiran faraj terbantu. Waktu terbaik untuk menawarkan cetusan pelahiran kepada wanita pada atau selepas 37 minggu gestasi memerlukan penyiasatan lanjut, begitu juga penerokaan profil risiko wanita serta nilai dan pilihan mereka. Membincangkan risiko cetusan pelahiran, termasuk manfaat dan mudarat, boleh membantu wanita membuat keputusan termaklum antara cetusan pelahiran untuk kehamilan yang melebihi 41 minggu, atau menunggu pelahiran bermula dan/atau menunggu sebelum cetusan pelahiran. Kefahaman wanita tentang cetusan, prosedur, risiko dan manfaat, penting dalam mempengaruhi pilihan dan kepuasan mereka.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nila Pillai (Cochrane Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information