Probiotik untuk pencegahan cirit-birit yang berkaitan antibiotik di kalangan kanak-kanak

Apakah cirit-birit berkaitan dengan antibiotik?

Cirit birit yang berkaitan dengan antibiotik (AAD) berlaku apabila antibiotik mengganggu keseimbangan semulajadi bakteria "baik" dan "buruk" dalam saluran usus yang menyebabkan bakteria berbahaya melipatganda dari jumlah normalnya. Gejala-gejala AAD termasuk cirit birit yang kerap dan sakit perut kembung.

Apakah probiotik?

Probiotik ditemui dalam makanan tambahan atau yogurt dan mengandungi bakteria atau yis berpotensi yang bermanfaat. Probiotik boleh memulihkan keseimbangan semula jadi bakteria dalam saluran usus.

Apakah yang dikaji oleh penyelidik?

Para penyelidik telah mengkaji sama ada probiotik mencegah AAD dalam kalangan kanak-kanak yang menerima rawatan antibiotik dan sama ada probiotik menyebabkan apa-apa kemudaratan (kesan sampingan). Penyelidik mencari penulisan perubatan secara meluas sehingga 28 Mei 2018.

Apakah yang ditemui oleh para penyelidik?

Tiga puluh tiga kajian telah diulas dan memberikan bukti yang terbaik. Kajian itu menguji seramai 6352 kanak-kanak (umur 3 hari hingga 17 tahun) yang menerima probiotik yang dikendalikan dengan antibiotik untuk mencegah AAD. Para peserta menerima probiotik (Lactobacilli spp., Bifidobacterium spp., Streptococcus spp., atau Saccharomyces boulardii sahaja atau gabungan), plasebo (pil yang tidak mengandungi probiotik), rawatan lain yang dianggap mencegah AAD (iaitu diosmectite atau formula bayi). Kajian ini adalah berjangka pendek, iaitu tempoh dari 5 hari hingga 12 minggu. Analisis menunjukkan bahawa probiotik berkesan untuk mencegah AAD. Insiden AAD dalam kumpulan probiotik adalah 8% (259/3232) berbanding dengan 19% (598/3120) dalam kumpulan pemboleh ubah kawalan, menunjukkan pengurangan yang sederhana (11% lebih sedikit akan mengalami cirit-birit). Bagi setiap 9 kanak-kanak yang telah dirawat, probiotik akan mencegah satu kes cirit-birit. Tambahan ,bukti menunjukkan bahawa probiotik dos yang lebih tinggi (≥ 5 bilion CFUs per hari) mengurangkan kejadian AAD. Lapan peratus (162/2029) kumpulan probiotik dos tinggi mempunyai AAD berbanding 23% (462/2009) dalam kumpulan kawalan, menunjukkan pengurangan yang sederhana hingga besar (15% lebih sedikit mengalami cirit-birit). Probiotik secara umumnya diterima dengan baik, dan kesan sampingan yang kecil (contohnya ruam, mual, gas, kembung perut, sembelit) tidak semestinya berlaku. . Bukti mencadangkan bahawa probiotik berkesan dalam pengurangan yang sederhana kepada tempoh cirit-birit (hampir satu hari). Di antara pelbagai probiotik yang telah dinilai, Lactobacillus rhamnosus atau Saccharomyces boulardii pada 5 hingga 40 bilion unit yang membentuk koloni/hari kelihatan paling sesuai dalam mencegah AAD pada kanak-kanak yang menerima antibiotik. Ia adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai keberkesanan dan keselamatan agen-agen probiotik 'lain' untuk mencegah AAD. Walaupun tiada kesan sampingan yang berkaitan dengan probiotik yang serius dalam kalangan kanak-kanak yang kebanyakannya memang sihat dalam kajian ini, kesan sampingan yang serius telah dilaporkan dalam kajian-kajian pemerhatian yang tidak terlibat, termasuk kanak-kanak yang lemah atau kanak-kanak yang imunokompromi dengan faktor risiko seperti penggunaan kateter vena pusat (tiub fleksibel yang digunakan untuk memberi ubat) dan gangguan yang berkaitan dengan translokasi bakteria atau fungi (laluan bakteria dari usus ke bahagian lain badan).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang (Lincoln University College). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi syamirahbalqis3@gmail.com

Tools
Information
Share/Save